SC beri amaran penipuan pelaburan deepfake

Iklan
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada Isnin memberi amaran kepada orang ramai mengenai taktik penipuan pelaburan ‘deepfake’ yang dicipta melalui kecerdasan buatan (AI) untuk menyamar sebagai individu dan nama syarikat terkemuka.

Dalam satu kenyataan, SC berkata, pelaku penipuan itu biasanya memulakan aktiviti jenayah dengan menyiarkan video ‘deepfake’ pada platform media sosial, yang kemudiannya disebarkan melalui aplikasi pemesejan.

Iklan
Iklan

"Video ini ‘menampilkan’ tokoh awam atau syarikat tertentu, dalam usaha nyata untuk memberikan kredibiliti kepada kerja mereka ini.

"Melalui penggunaan teknologi AI, video itu dimanipulasi untuk hampir menyerupai suara tokoh awam ini, termasuk pergerakan bibir, menjadikan peluang pelaburan tersebut kelihatan tulen,” kata pengawal selia pasaran modal itu.

Iklan

SC berkata, biasanya video ‘deepfake’ itu juga akan mempromosikan pelaburan yang kononnya ditawarkan oleh syarikat yang bereputasi.

"Orang ramai yang tidak peka dan terus mengakses pautan itu akan diminta memuat turun aplikasi, yang mana ia mendedahkan mereka kepada risiko jenayah siber.

Iklan

"Setelah mendaftar, bakal mangsa akan dihubungi oleh ejen yang kemudiannya menipu mereka, dengan meminta untuk memindahkan wang atau memberikan butiran peribadi selanjutnya,” katanya.

SC dengan bantuan Meta telah menurunkan video sedemikian untuk mengekang akses kepada pihak awam yang mungkin menjadi mangsa penipuan itu.

SC juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap aktiviti penipuan pelaburan tersebut.

"Selain itu, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dalam menilai tawaran pelaburan, termasuk memastikan mereka tidak memindahkan atau mendepositkan wang ke dalam akaun yang mencurigakan,” kata SC. - Bernama