Penyakit kardiovaskular punca 23.3 peratus kematian di Malaysia

Iklan
Dr Dzulkefly menyampaikan ucapan pada pengumuman CRRC di IJN pada Isnin. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Penyakit kardiovaskular (CVD) secara konsisten menyumbang hampir 23.3 peratus kematian di Malaysia sejak bertahun-tahun lamanya, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, kolesterol tinggi adalah faktor risiko utama bagi penyakit kardiovaskular aterosklerotik, yang merupakan penyebab utama morbiditi dan kematian.

Iklan
Iklan

Dr Dzulkefly berkata, berdasarkan Kaji Selidik Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan, 33.3 peratus orang dewasa di Malaysia atau 7.6 juta yang berumur 18 tahun dan ke atas, menderita penyakit kolestrol tinggi.

"Walaupun dengan rawatan, cabaran masih wujud, kawalan tahap kolesterol masih belum mencapai sasaran bagi ramai pesakit, terutama mereka yang berisiko tinggi. Ini adalah jurang yang perlu diatasi,” katanya dalam ucapannya sebelum merasmikan Klinik Grand Round dan Klinik Pengurangan Risiko Kardiovaskular (CRRC) di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pada Isnin.

Iklan

Dr Dzulkefly berkata, sejak penubuhannya dua tahun lalu, CRRC telah merawat hampir 600 pesakit, dan secara signifikan meningkatkan kualiti hidup serta hasil kesihatan mereka.

"Sebagai klinik biasa di IJN, CRCC merupakan perkhidmatan kardiovaskular yang berorientasikan pesakit dengan matlamat mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dalam kalangan pesakit terpilih. Semua pesakit ini telah berjaya mengawal dan mengurangkan faktor risiko penyakit kardiovaskular mereka,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, Grand Round ini selaras sepenuhnya dengan Rancangan Strategik Kebangsaan Kementerian Kesihatan untuk Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) 2016-2025, dengan sasaran mengurangkan kematian NCD daripada 20 peratus pada 2023 kepada 15 peratus menjelang 2025.

Menteri itu berkata, ini akan melibatkan pelbagai strategi, dengan satu daripadanya ialah menggunakan klinik multidisiplin CRRC untuk mengoptimumkan risiko pesakit.

"Model ini boleh diterapkan dalam pelbagai bentuk di seluruh negara, bergantung kepada sumber yang tersedia. Konsep kerjasama antara sektor swasta dan awam boleh memastikan pengurusan yang lebih baik serta hasil yang lebih berkesan," katanya. - Bernama