Anak, bapa bertemu semula selepas 35 tahun

Iklan
Siti Khairul Nisak tidak dapat menahan sebak menatap buat kali pertama bapanya, Abu Hassan ketika dipertemukan di Kampung Parit Mat Alam, Titi Serong di sini hari ini.

PARIT BUNTAR - Setelah 35 tahun berpisah, seorang anak ditemukan dengan bapanya dalam satu pertemuan penuh emosi di Kampung Parit Mat Alam, Titi Serong di sini hari ini.

Abu Hassan Razali, 60, terpisah dengan Siti Khairul Nisak, 35, kerana berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja pada tahun 1985.

Iklan
Iklan

Lebih menyedihkan, Siti Khairul Nisak yang ketika itu berusia 4 bulan tidak pernah melihat wajah bapanya.

Menceritakan detik pertemuan itu, Siti Khairul Nisak berkata, usaha menjejaki bapanya itu dilakukan sejak sekian lama melalui pelbagai cara termasuk menularkannya di media sosial.

Iklan

Bagaimanapun usahanya tanpa putus asa membolehkannya bertemu semula bapa kandungnya itu.

Wanita itu berkata, dia turut dibantu komuniti 1 Malaysia Tow Truck (1MTT) dan semakan di Jabatan Pendaftaran Negara memaklumkan bapanya berada di Titi Serong di sini.

Siti Khairul Nisak mencium tangan Abu Hassan selepas bertemu buat kali pertama sejak 35 tahun lalu.

Iklan

"Selama ini saya tinggal bersama keluarga angkat di Tiram, Johor. Bukan sahaja ayah, mak juga saya tak pernah jumpa malah difahamkan saya juga masih ada seorang abang.

"Pertemuan ini memang sangat dinanti-nantikan. Tak sangka ayah ada lagi. Walaupun perasaan bercampur baur, tapi saya gembira kerana dapat tengok ayah," katanya kepada pemberita di rumah Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parit Mat Alam, Nazli Mohamad di sini hari ini.

Menurutnya, punca perpisahan mereka tidak diketahui kerana dia tinggal bersama keluarga angkat sejak kecil dan tiada siapa yang tahu kisah sebenarnya keluarganya itu.

Siti Khairul Nisak (tengah) bersama Abu Hassan (dua dari kiri) dan keluarga angkatnya yang datang ke Kampung Parit Mat Alam, Titi Serong dari Tiram Johor.

Turut hadir menyaksikan peristiwa bersejarah itu ialah ibu angkatnya, Kamsiah Md Said, 55, bersama adik beradik angkat yang lain.

Pada masa sama Siti Khairul Nisak menganggap pertemuan itu satu rezeki buatnya yang akan menamatkan zaman bujang bulan depan bersama pasangannya, Mohd Fazli Mohd Affendi, 35.

Menurutnya, selepas ini dia akan berusaha mencari abangnya, Mohd Shukri Abu Hassan yang diketahui berusia 37 tahun dan ibunya, Halimah Yon Ismail yang berusia 58 tahun.

Sementara itu, Abu Hassan bersyukur dan terharu kerana dipertemukan dengan anak kandungnya.

Abu Hassan bertanya khabar Siti Khairul Nisak yang tidak pernah ditemuinya sejak 35 tahun lalu.

Menurutnya, dia turut berusaha mencari kedua-dua anaknya itu namun belum berhasil sehingga pertemuan bersama Siti Khairul Nisak hari ini.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah berusaha menyatukan kami. Hanya ALLAH yang dapat membalas jasa semua.

"Rasa seronok sangat sebab dari kecil tak pernah jumpa," katanya sebak sebaik melihat wajah anaknya yang tiba dari Johor.

Bagi Nazli, pertemuan dua beranak itu sesuatu yang amat menggembirakan warga kampung dan berharap menjadi permulaan hidup baharu kepada Abu Hassan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai seorang lagi anak lelaki Abu Hassan dan isterinya boleh terus menghubunginya di talian 019-5479649.