KOTA TINGGI - Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) insiden perlanggaran kapal tangki MT Hafnia Nile dan MT Ceres ditamatkan jam 1 tengahari pada Isnin.
Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil, berkata, hasil pemantauan Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru, mendapati kebakaran pada kedua-dua kapal tangki terbabit telah dapat dikawal dan dipadam sepenuhnya.
Beliau turut memaklumkan kesemua 22 kru kapal tangki MT HAFNIA NILE serta 14 orang kru kapal tangki MT CERES I berada dalam keadaan selamat dan stabil di Singapura.
"Untuk tindakan lanjut, kedua-dua kapal tangki terbabit akan ditunda ke perairan Sedili kira-kira 20 batu nautika timur Tanjung Sedili bagi membolehkan siasatan lanjut dan punca kejadian disiasat oleh pihak Jabatan Laut Wilayah Selatan," katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, pengurusan kawalan tumpahan minyak yang dilaporkan juga akan dikoordinasikan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Pada Sabtu, kapal tangki MT Ceres I yang didapati hilang dari lokasi pelanggaran di perairan Tanjung Balau, dilaporkan dikesan cuba dilarikan.
Pengarah Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana Maritim, Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Mad Yunus, dilaporkan berkata kapal tangki yang berdaftar di Republik Sao Tome and Principe itu, telah ditemui di kedudukan 28 batu nautika timur laut Pulau Tioman, pagi Ahad.
Manakala sebuah lagi kapal iaitu MT Hafnia Nile dilaporkan hanyut sejauh 52 batu nautika daripada lokasi kejadian dan berada di perairan Pulau Pemanggil, Mersing.
Pada Jumaat, dua kapal terbabit dilaporkan berlanggar di kedudukan 25 batu nautika Timur Laut Tanjung Balau pada jam 6.55 pagi.