Dua remaja cedera, dinding Mydin runtuh

Iklan
Operasi bomba di lokasi kejadian tertumpu kepada kerja-kerja mengalihkan sisa runtuhan yang menghalang laluan.

IPOH - [DIKEMAS KINI] Dinding bangunan Pasar Raya Besar Mydin Manjoi yang terbakar, Mac lalu runtuh mengakibatkan dua remaja lelaki cedera dalam kejadian di sini pada Isnin.

Kejadian sekitar jam 4.30 petang itu dipercayai berlaku ketika kedua-dua mangsa berusia 13 dan 14 tahun sedang melalui kawasan berkenaan ketika menunggang motosikal.

Iklan
Iklan

Bangunan berkenaan yang ditutup kepada orang awam selepas mengalami kebakaran dipercayai sedang dalam kerja-kerja meroboh.

Anggota bomba yang tiba di lokasi menjalankan kerja-kerja mengalihkan sisa runtuhan yang menghalang laluan.

Iklan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan kejadian diterima pada jam 4.45 petang melibatkan runtuhan dinding bangunan di bahagian kanan bersebelahan Pejabat Daerah dan Tanah Kinta Ipoh.

Menurutnya, pihaknya dimaklumkan terdapat dua mangsa mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu akibat terkena serpihan batu runtuhan.

Iklan

Dinding bangunan Pasar Raya Besar Mydin Manjoi yang terbakar pada Mac lalu runtuh sehingga menyebabkan dua remaja cedera.

"Operasi tidak melibatkan kerja-kerja menyelamat kerana ketika anggota tiba di lokasi, mangsa telah selamat dibawa ke hospital oleh orang awam," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Dalam kejadian 10 Mac lalu, pasar raya itu dilaporkan terbakar pada jam 7.09 malam namun tiada mangsa terlibat dalam kejadian.

Kebakaran dipercayai bermula dari bahagian bumbung dan tingkat satu yang menempatkan pakaian, barangan elektrik dan stor barangan selain berlaku runtuhan dinding pada bahagian kanan premis.

Bagaimanapun siasatan dijalankan tidak menemui sebarang unsur pembakaran sengaja yang boleh dikaitkan dengan jenayah.