SEPANG - Malaysia sentiasa dalam keadaan kesiapsiagaan yang tinggi bagi menghadapi penularan penyakit berjangkit dan bersedia memberi gerak balas terhadap sebarang kecemasan melibatkan kesihatan awam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihak berkuasa kesihatan telah banyak belajar melalui wabak yang berlaku sebelum ini seperti virus zika dan nipah termasuk polio dalam menguruskan situasi itu.
Oleh itu katanya, tidak mengejutkan apabila Malaysia berada pada kedudukan ke-18 dalam Indeks Keselamatan Kesihatan Global (GHS) 2019 daripada 195 negara yang dinilai berhubung persediaan dalam menghadapi risiko yang memberi kesan besar dan bencana biologi global.
"Kita mahu menjadi lebih baik dan berada pada kedudukan 10 teratas. Kita (Malaysia) mempunyai pengalaman dan sejarah menghadapi jangkitan virus,” kata Dr Dzulkefly kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini hari ini.
Dalam Indeks itu, Malaysia berada di hadapan Singapura yang menduduki tangga ke-24, manakala Indonesia ke-30 dalam senarai itu, bagaimanapun Thailand berada di hadapan Malaysia pada kedudukan keenam.
GHS menyenaraikan negara-negara berkenaan dalam tiga kategori iaitu paling bersedia, lebih bersedia dan kurang bersedia.
ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: Empat individu dikenal pasti sebar berita palsu
Malaysia ditempatkan dalam kategori kedua manakala 13 negara berada dalam kategori pertama.
Jelas Dr Dzulkefly, dalam menangani 2019 novel koronavirus, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menambah 12 lagi mesin pengimbas suhu badan di pintu masuk negara secepat mungkin.
Katanya, ia sebagai tambahan kepada 54 mesin pengimbas suhu badan sedia ada yang mana 33 mesin ditempatkan di Semenanjung dan 21 lagi di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, pada masa sama, agensi pelancongan disaran memberikan pencerahan mengenai koronavirus kepada pengembara yang menggunakan khidmat mereka.
"Agensi pelancongan perlu menasihatkan pengembara untuk mendapatkan rawatan di fasiliti di bawah KKM yang berdekatan apabila mendapati pelanggan mereka menunjukkan simptom demam, batuk dan sukar untuk bernafas,” kata Dr Dzulkefly.
KKM sahkan satu suspek terbaharu koronavirus
Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan menerima laporan berhubung seorang warga China yang bekerja di Bintulu, Sarawak mempunyai simptom koronavirus.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, wanita tersebut sedang dikuarantin di Hospital Bintulu.
"Setakat ini kita masih menunggu keputusan ujian makmal," katanya.
Menurutnya, dengan laporan itu, jumlah terkini suspek koronavirus yang dirawat di hospital adalah lima orang.
"Dua kanak-kanak dirawat di Hospital Langkawi dan dua lagi di Hospital Kuala Lumpur," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) dan KLIA2 hari ini.
Terdahulu terdapat satu laporan polis berhubung individu yang mengalami simptom koronavirus di Bintulu itu menjadi tular di media sosial.
Laporan itu antaranya menyebut wanita berusia 25 tahun berkenaan ke Wuhan atas urusan kerja pada 11 Januari lalu sebelum tiba dan transit di Kota Kinabalu, Sabah lima hari kemudian.
Dia terus bekerja di pejabat seperti biasa dan pada 26 Januari wanita itu pergi ke Hospital Columbia Asia untuk mendapatkan rawatan selepas mengalami demam. - Bernama