SHAH ALAM - Orang ramai berpeluang mendapatkan barangan keperluan asas dengan penjimatan harga antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran menerusi Karnival Rakyat Karangkraf yang akan berlangsung pada 26 hingga 28 Julai ini di Dataran Karangkraf, Seksyen 15 di sini.
Ketua Seksyen Perdagangan Dalam Negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Selangor, Siti Rohani Omar berkata, antara barangan yang ditawarkan pada karnival itu adalah ayam, ikan, daging, beras, minyak dan banyak lagi.
"Jualan Rahmah Madani ini merupakan langkah kerajaan khususnya KPDN untuk membantu golongan pendapatan rendah dan pertengahan. Jadi kita sertai karnival ini agar lebih ramai mendapat manfaatnya.
"Pada pandangan saya, Karnival Rakyat Karangkraf perlu diadakan lebih kerap memandangkan aktiviti yang disediakan sesuai untuk semua lapisan masyarakat sama ada pengunjung mahupun peniaga,” katanya ketika ditemui dalam sesi taklimat bagi vendor Karnival Rakyat Karangkraf di sini pada Isnin.
Pembantu Pengurus Jualan dan Pemasaran Farm In The City, Hasan Fahmi Mohd Nizam memberitahu, pihaknya ada menawarkan promosi khas iaitu 40 peratus diskaun harga tiket kepada pengunjung Karnival Rakyat Karangkraf.
"Orang ramai boleh datang ke reruai kami sekiranya mahu mendapatkan tiket tersebut, ia sah digunakan dalam tempoh enam bulan.
"Para pengunjung juga berpeluang untuk beramah mesra dengan haiwan eksotik yang bukan ada di Malaysia,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Jualan Iklan Sinar Harian, Airol Fadley Limin berkata, persiapan dan persediaan Karnival Rakyat Karangkraf kini mencapai lebih 90 peratus.
Beliau berharap karnival kali ini mendapat sambutan menggalakkan memandangkan terdapat lebih 40 vendor yang terdiri daripada pelbagai industri seperti perbankan, insurans, pendidikan, kewangan dan automobil.
"Karnival Rakyat Karangkraf memang untuk rakyat sebab bermacam-macam hadiah dan cabutan bertuah menunggu para pengunjung antaranya kenderaan pelbagai guna (MPV), motosikal, pakej umrah dan jam tangan eksklusif.
"Namun, perkara yang paling penting adalah para pengunjung dapat meluangkan masa bersama keluarga.
"Kita menyediakan pelbagai aktiviti rakyat seperti sepak raga, galah panjang dan banyak lagi,” ujarnya.