Pemuda teruskan perniagaan arwah ayah, jual sate guna motosikal

Iklan
Muhammad Ashraf (dua, kiri) bersama sepupunya Abu Zanib zainudin,34, membakar sate yang ditempah pelanggan.

MELAKA - Meskipun banyak pilihan pekerjaan namun seorang anak muda dari Semabok di sini, mahu meneruskan kerja peninggalan arwah bapanya dengan menjaja sate menggunakan motosikal.

Anak bongsu daripada enam beradik, Muhammad Ashraf Salleh, 21, berkata, sejak dibangku sekolah dia telah menemani arwah bapanya, Allahyarham Salleh Mahmood, 60, atau lebih dikenali 'Salleh Sate' dengan menjual sate di beberapa kawasan perumahan sekitar negeri ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika arwah masih ada mereka juga mengusahakan sebuah gerai sate di Bukit Beruang namun sejak bapanya meninggal dunia pada Disember tahun lalu, dia tidak lagi menguruskan gerai tersebut dan kini bersama sepupunya menjaja sate di dua lokasi taman perumahan setiap minggu.

Muhammad Ashraf menunjukkan sate yang dijual dengan menjaja menggunakan motosikal di Taman Sutera Wangi Fasa Dua, di sini, pada Isnin.

Katanya, kebiasaan dia akan membakar lebih 600 cucuk sate termasuk sate ayam dan daging yang dijual dengan harga RM1.20 secucuk yang mana bilangan sate terjual akan meningkat terutama pada akhir dan awal bulan di dua lokasi perumahan iaitu Taman Ayer Keroh Height dan Taman Sutera Wangi mengikut hari tertentu.

Iklan

"Biasa di rumah saya bersama mak akan menyediakan sate mentah setiap hari supaya kualiti sate itu terjaga.

"Memang ada peluang kerja lain, namun sayang nak tinggalkan punca rezeki ini kerana dengan menjaja sate arwah ayah sara kami sekeluarga," katanya ketika ditemui ketika menjaja sate di Taman Sutera Wangi Fasa 2, di sini, pada Isnin.

Iklan

Tambahnya, mengakui ada juga yang memandang sinis pekerjaannya sebagai penjual sate namun percaya rezeki ALLAH SWT luas dan dapat meneruskan kelangsungan hidup.

Malah katanya, telah mula menjual sate sejuk beku untuk mempelbagaikan lagi jualan makanan berkenaan sejak bulan lalu dan tidak menyangka ia mendapat sambutan menggalakan.

"Jadi ketika ini saya fokus menjaja dan membuat sate sejuk beku bagi menambahkan lagi pendapatan.

"Walaupun kerjaya saya tidak seperti orang lain, namun sekurang-kurangnya ALLAH beri masa untuk saya berbakti kepada mak," katanya lagi.

Ujarnya, meskipun zaman berubah dia berharap sate bermotosikal seperti ini terus digemari masyarakat berbilang kaum yang jarang-jarang ditemui di tempat lain.

"Selain arwah bapa ada juga beberapa individu yang telah lama menjaja sate dengan cara seperti ini dan percaya masing-masing diberikan rezeki dengan cara tersendiri," katanya.