WASHINGTON - Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris memuji Presiden, Joe Biden atas khidmatnya kepada negara.
Beliau bercakap demikian dalam penampilan umum pertamanya pada Isnin sejak Biden mengumumkan penarikan dirinya daripada kempen Presiden.
Namun Harris tidak secara khusus merujuk kepada status baharunya sebagai calon utama Demokrat untuk Presiden, selepas Biden menarik diri atas tekanan yang semakin meningkat daripada kalangan pemimpin parti itu.
Bagaimanapun beliau memperoleh sokongan salah seorang anggota Demokrat yang paling lama berkhidmat, Nancy Pelosi.
Pelosi, yang meletak jawatan sebagai Speaker Dewan Perwakilan pada 2022, tetap menjadi antara individu berpengaruh dalam arena politik Demokrat.
Pelosi memainkan peranan utama dalam meyakinkan Biden, 81, untuk menamatkan kempen beliau di tengah-tengah kebimbangan tentang kecekapan dan kemampuannya untuk mengalahkan calon Rebuplikan Donald Trump atau untuk berkhidmat selama empat tahun lagi.
Dalam satu kenyataan, beliau mengucapkan terima kasih kepada Biden dan menghormati keputusannya untuk berundur.
Pelosi juga menyeru semua anggota Demokrat untuk bersatu mengalahkan Republikan dan mengumumkan sokongan ke atas Harris sebagai Presiden yang seterusnya.
Hampir semua anggota kanan Demokrat yang dilihat sebagai pesaing berpotensi kepada Harris telah menyokongnya, termasuk Gabenor Gretchen Whitmer dari Michigan, Gavin Newsom dari California dan Andy Beshear dari Kentucky. - Awani