JIKA kebanyakan tempat rancak mengadakan majlis khatam al-Quran pada Ramadan, lain pula halnya apabila Muslimat sekitar Lembah Pantai, Kuala Lumpur memilih bulan Muharam untuk menganjurkan aktiviti berkenaan.
Rupanya ada kisah di sebalik penganjuran Majlis Khatam Al-Quran Mega Kali ke-7 anjuran Muafakat Muslimat Jom Baca Al-Quran (J-BAQ) Lembah Pantai dengan kerjasama Masjid Abdul Rahman Bin Auf (MARBA), Jalan Puchong di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ketua Muslimat MARBA, Normah Mohammad menjelaskan, ini kerana para peserta J-BAQ akan menghabiskan bacaan keseluruhan 30 juzuk al-quran dalam tempoh enam bulan iaitu dua kali setahun mengikut kalendar Islam iaitu bermula Muharam.
"Dalam acara yang memasuki tahun ketiga ini, MARBA menjadi tuan rumah acara tradisi ini dengan penglibatan hampir 500 peserta muslimat membabitkan lebih 30 buah masjid dan surau di sekitar kawasan Lembah Pantai,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus pada Selasa.
Majlis khatam al-Quran itu dibimbing oleh johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi, Ustaz Muhammad Husaini Mahmur dan turut disulami dengan pengisian ceramah bertajuk ‘Al-Quran penyelamat dunia akhirat’ oleh pendakwah, Ustaz Muhammad Hafiz Mohd Haneefa atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Hafiz.
Selain acara itu, Normah berkata, Muslimat MARBA turut menganjurkan program Jom Rewang Bubur Asyura secara bergotong-royong baru-baru ini melibatkan 250 pek yang diagihkan kepada ahli kariah masjid.
Bukan itu sahaja, MARBA juga tidak ketinggalan mengadakan program Jaulah Mahabbah @ Forum Maal Hijrah berkolaboratif dengan Sinar Islam Plus dan Sinar Harian pada 11 Julai lalu.
"Semua program besar dan acara lain dianjurkan itu adalah untuk memuliakan bulan Muharam yang begitu bersejarah serta penting untuk umat Islam, di samping mengeratkan silaturahim sesama Muslimat dan ahli kariah masjid ini serta kawasan sekitar.
"Alhamdulillah, semua program dirangka mendapat sambutan menggalakkan. Selepas ini, kami akan meneruskan kesinambungan dengan pelbagai acara lain untuk menarik lebih ramai golongan muda untuk mengimarahkan masjid,” katanya.