KUALA LUMPUR - Polis menerima sembilan laporan sejak Mei lalu mengenai penipuan tawaran perkhidmatan 'Eco Recycling' dengan nilai kerugian sebanyak RM243,693.50.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya mengesan satu taktik penipuan 'phishing' melalui tawaran pembelian barangan terpakai yang diiklankan di Facebook 'Eco Recycling'.
"Melalui iklan tersebut, pihak syarikat menawarkan pembelian pelbagai barangan terpakai seperti barangan elektrik, gajet, surat khabar, pakaian dan lain-lain.
Menurutnya, setelah mendaftar, mangsa dikehendaki membuat pembayaran deposit RM10, kononnya untuk menempah slot bagi kutipan barangan yang ingin dijual.
"Mangsa kemudiannya akan dibawa ke paparan laman web perbankan palsu yang bertujuan untuk mendapatkan data nama pengguna dan kata laluan mangsa.
"Setelah memasukkan nama pengguna dan kata laluan, laman web tersebut tidak dapat diakses kononnya ‘under maintenance’," katanya.
Beliau berkata, telefon milik mangsa juga akan digodam dan mangsa hanya mengetahui telah ditipu apabila mendapati wang miliknya telah dipindahkan ke beberapa akaun bank yang tidak dikenali tanpa pengetahuannya.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, 'phishing' adalah satu bentuk serangan siber di mana penjenayah cuba untuk mendapatkan maklumat peribadi, seperti kata laluan, nombor kad kredit atau data sensitif lain dengan menyamar sebagai entiti yang dipercayai.
"Serangan ini biasanya dilakukan melalui e-mel, mesej teks, atau laman web palsu yang kelihatan sah.
"Tujuan utama 'phishing' adalah untuk menipu mangsa agar memberikan maklumat peribadi mereka secara sukarela," katanya.
Beliau berkata, sebagai langkah pencegahan, orang ramai adalah dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan tidak memuat turun sebarang fail aplikasi yang diterima melalui mesej, emel dan seumpamanya.
"Orang ramai dinasihatkan, sebarang muat turun fail aplikasi ke telefon pintar hanyalah dilakukan melalui platform yang selamat dan dipercayai seperti Google Play dan App Store sahaja," katanya.