SHAH ALAM - Empat Loji Rawatan Air (LRA) Selangor dihenti tugas berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah pada Selasa.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan, empat LRA itu ialah Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3.
Menurut beliau, akibat henti tugas itu, tujuh wilayah Air Selangor iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mula mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
"Senarai kawasan yang terjejas akan dikongsi dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu, Air Selangor sedang berusaha sedaya upaya untuk meminimumkan impak kepada para pengguna.
Menurut Air Selangor, bantuan alternatif melalui lori-lori tangki air akan digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
"Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa," jelas kenyataan itu.
Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.