[VIDEO] 'Kami sekeluarga sangat bersyukur, lega' - Bapa Zulfarhan

Iklan

PUTRAJAYA - Air mata kesyukuran mengiringi kedua ibu bapa mangsa buli, Pegawai Kadet Laut, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain setelah Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung ke atas enam pesalah terbabit.

Bapa mangsa, Zulkarnain Idros, 60, berkata, mereka sekeluarga sangat bersyukur serta lega di atas hukuman yang dikenakan ke atas enam suspek yang terlibat mendera dan membuli Allahyarham Zulfarhan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, #justice4farhan telah dapat ditegakkan untuk anaknya yang menjadi mangsa kepada kes buli di institusi pengajian terbabit.

Zulkarnain Idros (kanan) dan isterinya, Hawa ketika hadir bagi mendengar keputusan rayuan pendakwaan terhadap hukuman penjara 18 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi ke atas enam bekas penuntut UPNM di Mahkamah Rayuan Istana Kehakiman Putrajaya, hari ini. Foto Bernama

"Pertamanya, rasa syukur dan terima kasih kepada ALLAH SWT kerana telah memakbulkan doa kami sekeluarga dan doa seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti kes ini.

Iklan

"Terima kasih juga buat hakim Mahkamah Rayuan kerana membuat keputusan tepat dengan mengenakan hukuman gantung kepada pesalah," katanya ketika ditemui pemberita di Putrajaya pada Selasa.

Hadir sama ibu mangsa, Hawa Osman, 61, dan ahli keluarga.

Iklan

Ditanya mengenai perasaan selama ini, Zulkarnain berkata, dia dan isteri 'sudah habis' air mata menangis, namun pada hari ini semuanya telah dibuktikan.

Katanya, dia sekeluarga berasa amat lega apabila keputusan diumumkan oleh pihak hakim menyebelahi nasib anak mereka.

Dia berkata, semasa hakim membacakan fakta kes, mereka semua bersyukur dan dapat mengagak keputusan akan menyebelahi Allahyarham Zulfarhan.

"Kami betul-betul bersyukur apabila peguam dapat mematahkan hujah daripada pihak peguam bela.

"Satu kelegaan apabila #justice4farhan telah dapat dicapai hari ini, namun saya difahamkan ada satu lagi proses rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi untuk pesalah lain," ujarnya.

Zulkarnain berkata, dia sekeluarga berasa sedih apabila Ketua Hakim membaca fakta kes dari awal kejadian buli terbabit yang selama ini dia sekeluarga tidak tahu cerita sebenar dan tindakan yang dilakukan oleh kesemua suspek.

Katanya, ada perbuatan buli yang dilakukan ke atas mangsa tidak diketahui selama ini.

"Kami sekeluarga berasa sangat sedih dengan apa yang dilakukan oleh kesemua suspek apabila Ketua Hakim membaca fakta kes dari awal.

"Selama ini kita sekeluarga tidak dengar semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi," ujarnya.