Lari rumah, ikut kekasih punca utama orang hilang

Iklan
Saifuddin Nasution

SHAH ALAM - Punca tertinggi kes orang hilang yang dilaporkan di negara ini ialah lari dari rumah dan ikut kekasih.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagi kes lari rumah, banyak yang disebabkan ikut kawan tanpa pengetahuan keluarga.

Iklan
Iklan

"Bila sampai tempoh 24 jam dan ada yang masuk ke dua hari, mak ayah buat laporan hilang. Kemudian polis siasat, rupanya anak mereka ikut kawan.

"Punca kedua tertinggi orang hilang ialah ikut kekasih. Kes ini sama juga, tak beritahu penjaga dan sebagainya.

Iklan

"Seterusnya, ada kes orang hilang ini yang dilaporkan disebabkan memang jiwanya nak mencari kebebasan. Mencari kebebasan sebenarnya bukan orang hilang, tetapi lebih kepada salah faham atau krisis dengan keluarga,” katanya dalam temu bual di sebuah radio swasta pada Selasa.

Menurut Saifuddin, bagi mengatasinya, setiap keluarga perlu memastikan keadaan dalam dan luar rumah mesti kondusif.

Iklan

Jelasnya, ibu bapa, keluarga dan penjaga kena bina persefahaman dan komunikasi yang baik kerana ada antaranya berpunca daripada komunikasi yang tidak dapat diluah sehingga menyebabkan ada ahli keluarga yang mencari jalan keluar sendiri.

"Bila mak ambil anak dua, tiga hari dan tak kembalikan, maka dia lapor sebagai hilang tapi sebenarnya diambil oleh penjaga yang sah.

"Ada kes orang hilang disebabkan kemalangan. Dia (mangsa) pergi jungle trekking misalnya, beriadah di sungai, hutan dan laut kemudiannya hilang. Ini semua insiden yang kita rekodkan, kadang-kadang ada juga hilang kerana jenayah seperti diculik serta dibunuh,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, kes orang hilang disebabkan menjadi mangsa jenayah adalah lebih kecil berbanding faktor-faktor lain.

"Berita baiknya, bagi setiap 10 kes orang hilang, sembilan biasanya ditemui. Sama ada polis dapat kesan atau mereka balik sendiri.

"10 peratus tadi (banyak) yang berakhir dengan jumpa mayat sahaja seperti yang berlaku di Tanjung Malim (Nur Farah Kartini Abdullah). Kita bersimpati kerana asalnya dilaporkan hilang oleh rakan karibnya, kemudian barulah kita dapati dia meninggal dunia dan mayatnya ditemui,” jelasnya.