PUTRAJAYA - Orang ramai digesa memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) sekiranya diperdaya oleh syarikat penjualan kenderaan terpakai.
Pengasas aplikasi Scrut, Nik Muhammad Izwan Nik Mohd Kamel berkata, nilai tuntutan di TTPM yang dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM50,000 sejak lima tahun lalu seharusnya direbut oleh mangsa penipuan kenderaan terpakai.
Menurutnya, langkah kerajaan meningkat nilai tuntutan ini wajar disambut baik oleh mereka yang menjadi mangsa bagi mendapatkan pembelaan.
"Ini termasuk meningkatkan perbatuan kepada 250,000 kilometer atau umur kereta hingga 15 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Nik Muhammad Izwan berkata, situasi pasaran kenderaan terpakai yang semakin tepu berbanding penjualan kenderaan baharu antara faktor mendesak pengusaha kenderaan terpakai mengaut keuntungan atas angin dengan melakukan penipuan.
Beliau berkata, jumlah jualan kereta terpakai di negara ini kekal sekitar 400,000 hingga 450,000 unit setahun sejak 30 tahun lalu berbanding kenderaan baharu yang merekodkan hampir 800,000 unit tahun lalu.
"Ada pelakon tempatan yang hampir ditipu ketika mahu membeli kenderaan terpakai tetapi maklumat yang diberikan oleh penjual tidak sama dengan hasil semakan Scrut.
"Kereta tersebut dikatakan merekodkan jumlah perbatuan 122,000 kilometer (KM) dan tidak terlibat kemalangan, namun setelah disemak, jumlah perbatuan sebenar adalah 144,000 KM selain mempunyai rekod kemalangan," ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan seorang ibu tunggal kerugian lebih RM51,000 apabila kereta terpakai yang baru dibeli mengalami kerosakan selepas satu minggu digunakan.