Jam 3 pagi bapa telefon untuk bangun ulang kaji - Anak pemandu bas

Iklan
Riska (dua dari kanan) bersama ibu bapa dan adiknya selepas menerima sijil pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2023, di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Pengorbanan seorang bapa yang bekerja sebagai pemandu bas terbalas apabila anak kelimanya berjaya meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 yang diumumkan pada Selasa.

Riska Sainuddin, 20, pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan berkata, bapanya banyak berkorban termasuk sentiasa memberi dorongan supaya belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga mendapat keputusan yang tidak dijangka.

Iklan
Iklan

"Saya pelajar asrama dan setiap jam 3 pagi, bapa akan hubungi untuk kejutkan saya supaya mengulang kaji pelajaran terutama pada minggu peperiksaan.

"Dia akan pastikan saya belajar semasa sepanjang minggu ulang kaji dan peperiksaan supaya dapat fokus untuk menjawab peperiksaan," katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2023, di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, di sini pada Selasa.

Iklan

"Saya akan pastikan masa diurus dengan berkesan dan saya juga menjaga hubungan dengan Allah meminta dan berdoa supaya diterangkan hati dalam menerima ilmu daripada guru-guru.

"Alhamdulillah, semua keputusan cemerlang dan mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 bagi subjek Geografi, Pengajian Am, Sejarah, Sains Sukan dan Pengajian Perniagaan," katanya.

Iklan

Katanya lagi, dia kini merancang untuk melanjurkan pengajian dalam bidang pendidikan dan sudah menghadiri janji temu dengan pihak universiti.

Sementara itu, bapanya Zainudin Osman, 59, berkata, walaupun dia hanya bekerja sebagai pemandu bas dengan pendapatan tidak menentu namun dapat menyekolahkan kesemua anaknya malah salah seorang daripadanya mencapai keputusan cemerlang.

"Saya akan sokong anak saya jika dia mahu melanjutkan pengajian di universiti walaupun pendapatan sebagai pemandu bas tidak menentu malah kadang-kadang hanya mendapat RM50 sehari, tetapi berkat kesabaran Alhamdulillah masih boleh memikul tanggungjawab sebagai bapa.

"Selain itu, mujur juga anak-anak yang sudah bekerja banyak membantu dari segi kos pendidikan adik-adik mereka yang masih bersekolah," katanya.