YWM satukan dana wakaf Persekutuan, korporat, perbankan Islam

Iklan
Mohd Na'im (enam dari kiri) bergambar bersama wakil agensi dan syarikat korporat yang menjadi Sahabat Wakaf Korporat YWM.

SHAH ALAM – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) akan dijadikan sebagai agensi pusat untuk menyatukan dana wakaf di peringkat Persekutuan, sektor korporat dan perbankan Islam di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, inisiatif itu dilakukan bagi memastikan keberkesanan implementasi Pelan Induk Wakaf Nasional 2025-2030.

Iklan
Iklan

Menurutnya, gerak kerja wakaf diperhebatkan lagi melalui implementasi pelan tersebut yang akan melibatkan semua pemain wakaf negara.

"Hasil daripada wakaf ekonomi ini akan digunakan bagi pembiayaan aktiviti-aktiviti sosial dan ekonomi masyarakat. Antara aset komersial wakaf yang diuruskan oleh YWM dan anak-anak syarikatnya adalah tiga buah hotel wakaf iaitu di Terengganu, Melaka dan Perak serta 19 rumah kedai di Selangor, Johor, Melaka dan Kedah,” katanya.

Iklan

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sahabat Wakaf Korporat YWM di Putrajaya pada Selasa.

Mohd Na'im memaklumkan, sebanyak 21 agensi dan syarikat korporat telah menjadi rakan strategik YWM menerusi pelbagai bentuk kerjasama seperti penyediaan platform pewakafan, perkhidmatan teknologi maklumat, perkongsian kepakaran dan pembangunan projek-projek wakaf.

Iklan

Jelasnya, sinergi kerjasama bersama YWM itu bukan sahaja bermanfaat kepada pembangunan wakaf tetapi turut memberi faedah kepada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang merupakan pemegang amanah tunggal harta wakaf di Malaysia.

Mohd Na'im menyempurnakan gimik memotong pulut kuning sempena sambutan ulang tahun ke-16 YWM pada Selasa.

"Seiring dengan ulang tahun ke-16 YWM pada hari ini (Selasa), YWM dengan penuh iltizam akan terus mengorak langkah memperkasakan wakaf secara global selaras agenda nasional iaitu wakaf menyumbang 10 peratus kepada pengembangan sektor kewangan Islam menjelang tahun 2030,” katanya.

Sementara itu, Mohd Na’im turut mengumumkan berita gembira kerana prestasi semasa bagi dana Unit Amanah Kenanga Waqf Al-Ihsan dan dana Kenanga Sustainability Series: Emergency Waqf Musa’adah yang merupakan produk pelaburan berkaitan wakaf kerjasama YWM dan Kenanga Investors Bhd mencatat keuntungan sebanyak 19.38 peratus dan 29.43 peratus setakat 12 Julai lalu.

Tambah beliau, Kenanga Investors Berhad selaku pengurus dana yang dilantik bagi kedua-dua dana ini turut memaklumkan potensi pengisytiharan dividen sebanyak 0.14 sen seunit bagi dana Kenanga Waqf Al-Ihsan dan 0.15 sen untuk dana Kenanga Sustainability Series: Emergency Waqf Musa’adah bagi tahun kewangan 2024.

"Menerusi Tabung Musa’adah Misi Bantuan Kemanusiaan Rakyat Palestin di bawah Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)-YWM, sejumlah RM12.8 juta telah diterima.

"Daripada jumlah tersebut, RM4 juta diagihkan kepada empat agensi, masing- masing menerima RM1 juta dan baki akan digunakan bagi pembangunan Bandar Gaza yang akan diselaraskan oleh YWM,” ujarnya.

Melalui majlis berkenaan juga, Permodalan BSN Bhd (PBSN) menyerahkan dana wakaf berjumlah RM375,000 yang merupakan hasil daripada 50 peratus dividen produk pelaburan BSN Wakaf Al-Ikhlas kerjasama antara YWM dan PBSN.

Selain itu, sebanyak RM1.04 juta dana wakaf telah disumbangkan oleh Sahabat Wakaf Korporat YWM yang ingin bersama-sama mendukung aspirasi wakaf Malaysia.