Tujuh penguat kuasa PBT direman, lindungi premis guna lesen ali baba

Iklan
Seramai tujuh penguat kuasa PBT ditahan direman SPRM setelah mendapat kelulusan daripada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menahan reman tujuh penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) pada Selasa kerana dipercayai menerima wang rasuah secara bulanan hampir RM12,000.

Sumber berkata, mereka yang ditahan menerima suapan daripada premis perniagaan yang beroperasi menggunakan lesen 'ali baba' di ibu negara.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40-an telah ditahan di sekitar ibu negara antara jam 8.30 hingga jam 11 pagi Isnin menerusi operasi khas Op Orange dijalankan SPRM Kuala Lumpur.

Kesemua tertuduh dipercayai menerima wang rasuah secara bulanan antara RM200 hingga RM1,000 daripada pemilik dan penjaga premis.

Susulan penahanan itu katanya, Majistret Amira Abd Aziz membenarkan lima anggota penguat kuasa itu direman selama lima hari sehingga Sabtu ini, sementara dua lagi anggota penguat kuasa direman selama tujuh hari sehingga Isnin ini.

Iklan

Menurutnya, permohonan reman itu dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Selasa.

"Mereka dipercayai menerima wang rasuah secara bulanan antara RM200 hingga RM1,000 daripada pemilik dan penjaga premis berkenaan," katanya pada Selasa.

Iklan

Tambahnya, wang rasuah yang diterima sebagai balasan kerana tidak mengambil tindakan penguatkuasaan kepada premis-premis berkenaan yang menggunakan lesen ali baba.

Selain itu menurutnya, kesalahan lain dilakukan oleh pemilik premis adalah menggajikan warga asing sebagai pekerja dan beroperasi menggunakan lesen yang berbeza.

Katanya lagi, susulan tangkapan terhadap kesemua suspek, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM40,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, seorang suspek telah dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangannya direkodkan.