SEPANG - Misi membawa pulang 123 rakyat Malaysia dari Bangladesh menerusi penerbangan khas berjalan lancar dengan tiada pelajar dilaporkan cedera.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Wisma Putra serta Suruhanjaya Tinggi Malaysia mendapat kerjasama baik daripada kerajaan Bangladesh dan pihak berkuasa tempatan negara itu.
"Kerajaan ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Luar Bangladesh dan semua agensi berkaitan atas kerjasama serta bantuan diberikan.
"Operasi ini berjalan lancar dengan kerjasama hubungan kerajaan kepada kerajaan (G2G) agensi dan semua pihak terlibat. Buktinya mereka (rakyat Malaysia) selamat sampai dengan elok,” katanya dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini, pada Selasa.
Seramai 123 rakyat Malaysia termasuk 80 pelajar, berlepas pulang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal Dhaka dengan menaiki penerbangan khas AirAsia pada 11.05 pagi waktu Bangladesh dan tiba di sini pada 4.56 petang.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution menjelaskan, tiada pelajar Malaysia dilapor menyertai rusuhan berkenaan kerana ia melibatkan isu domestik.
"Saya tanya di kalangan mereka, ada tidak pelajar terlibat (rusuhan di Bangladesh) dan jawapannya tidak. Ada kecederaan (jawapannya juga) tidak.
"Bagusnya pelajar kita, jelas isu berlaku adalah domestik. Mereka tahu peranan sebagai pelajar dan keutamaan adalah keselamatan nyawa,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut memuji kecekapan semua pihak dalam menjalankan misi membawa pulang rakyat Malaysia meskipun wujud beberapa kekangan seperti sekatan internet dan telekomunikasi.
"Sekatan benar merencatkan dan beri kesan kepada usaha Suruhanjaya Tinggi dan kementerian untuk hulur bantuan kepada golongan terkesan.
"Walau kekangan ini wujud, pihak Suruhanjaya Tinggi boleh manfaat teknologi sedia ada seperti SMS (sistem pesanan ringkas),” ujarnya.
Beliau turut mengakui terdapat rakyat Malaysia yang masih berada di Bangladesh atas pelbagai faktor antaranya mereka yang terikat kontrak pekerjaan.
"Terdapat rakyat Malaysia memilih untuk terus tinggal di Bangladesh, untuk tidak ganggu tumpuan dalam pelajaran, ada juga pekerja Malaysia terikat dengan kontrak pekerjaan.
"Ada ingin terus menetap bersama ahli keluarga dan bagi semua senario ini, Suruhanjaya Tinggi Malaysia akan terus tunai tanggungjawab dan main peranan pantau keadaan mereka,” jelasnya.