PUTRAJAYA - Deklarasi Beijing yang menyaksikan persefahaman antara Fatah dan Hamas diharap diterjemahkan di semua peringkat dengan jayanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Deklarasi Beijing merupakan langkah yang amat penting terutamanya dalam mencapai hak dan kebebasan buat rakyat Palestin.
"Saya amat berharap bahawa deklarasi perpaduan ini benar-benar diterjemahkan di semua peringkat dengan jayanya serta dalam menongkah tantangan di masa hadapan," katanya menerusi hantaran di laman sosial pada Selasa.
Ujar beliau, Malaysia mengalu-alukan persefahaman dan perpaduan antara Fatah dan Hamas yang pastinya akan memperkukuh solidariti warga Palestin.
"Perakuan antarabangsa menjadi yang terpenting saat ini.
"Saya menggesa kerajaan di seluruh dunia yang belum memperakui negara Palestin untuk segera memperakuinya, selain memberi dukungan kepada deklarasi perpaduan ini," ujar beliau.
Menerusi hantaran itu, Anwar turut menyatakan penghargaan buat Kerajaan China yang memainkan peranan memudah cara pertemuan dan perbincangan antara Fatah, Hamas serta dua belas fraksi lain yang membentuk perjuangan Palestin.
"Kesemua pihak mesti secara bersama merencana, merangka serta memastikan sikap barbarik dan biadab Israel dihentikan.
"Malaysia bersedia untuk mencurahkan tenaga dan keringat ke arah tersebut demi keadilan dan kebebasan," jelas beliau.
Fatah dan Hamas yang merupakan dua kuasa besar politik Palestin dilapor menandatangani deklarasi itu di Beijing bagi menamatkan perpecahan yang telah lama berlaku.