Dewan Negara lulus RUU Keterangan Saksi Kanak-Kanak

Iklan
Azalina pada Persidangan Dewan Negara sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen pada Selasa. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Dewan Negara pada Selasa meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 bertujuan membuat peruntukan yang lebih baik berhubung dengan keterangan saksi kanak-kanak.

Rang undang-undang itu diluluskan tanpa pindaan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 14 Senator.

Iklan
Iklan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menggulung perbahasan berkata, pindaan terhadap Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 itu wajar dilakukan kerana sebelum ini terdapat kekurangan perlindungan dan sokongan sesuai terhadap kanak-kanak dalam proses perbicaraan jenayah.

"Ibu bapa cenderung untuk tarik anak-anak keluar daripada perjalanan kes kerana mereka risau, tidak suka dan tidak mahu pergi ke mahkamah. Justeru, persekitaran sesuai untuk kanak-kanak yang menghadiri prosiding perlu disediakan secara berkesan,” katanya.

Iklan

RUU itu antara lain memperuntukkan seseorang saksi kanak-kanak hendaklah memberikan keterangan dengan sumpah dalam suatu prosiding, jika dia telah mencapai umur 12 tahun dan mempunyai pemahaman mencukupi mengenai keseriusan memberikan keterangan dalam prosiding dan memahami kewajipan bercakap benar.

Sementara itu, Dewan Negara turut meluluskan RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2024, RUU Keterangan (Pindaan) 2024, RUU Sumpah dan Ikrar (Pindaan) 2024, RUU Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Pindaan) 2024 dan RUU Angkatan Tentera (Pindaan) 2024.

Iklan

Persidangan Dewan Negara bersambung esok. - Bernama