SHAH ALAM - Gangguan air di tujuh daerah akibat pencemaran bau yang dikesan di beberapa sungai di Selangor dijangka pulih sepenuhnya Jumaat ini, kata Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri, Izham Hashim.
Izham berkata, bekalan air kepada pengguna di sebahagian kawasan yang terjejas juga dijangka pulih seawal jam 8 pagi esok susulan kesemua Loji Rawatan Air (LRA) yang terlibat telah beroperasi sepenuhnya.
Beliau berkata, LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 (SPP1, SSP2 dan SSP3) telah kembali beroperasi sepenuhnya bermula jam 3 petang Selasa.
"Pengagihan air melibatkan LRA Rantau Panjang mula dilaksanakan bermula jam 6 petang tadi manakala tiga SSP lagi dijangka pada jam 8 pagi esok.
"Kawasan kediaman yang mempunyai tekanan air rendah mengambil sedikit masa, namun sebahagian besar pengguna akan mendapat bekalan air dalam tempoh 24 jam," katanya pada sidang media khas berkenaan isu tersebut di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Izham berkata, premis yang menyebabkan air tercemar apabila sisa mengalir ke sungai telah dikenakan tindakan kompaun oleh Majlis Perbandaran Selayang.
Terdahulu, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaludin dalam kenyataan memaklumkan pencemaran bau berkenaan yang dikesan sejak semalam berpunca daripada premis kilang dipercayai memproses bahan akrilik untuk dikitar semula.
Air Selangor dalam kenyataan turut memaklumkan tujuh kawasan di Lembah Klang iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan air tidak berjadual ekoran empat LRA dihenti tugas sementara berikutan pencemaran itu. - Bernama