GERIK - Tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Hulu Perak terpaksa berjalan kaki selama dua jam dengan memikul ular sawa yang beratnya lebih 100kg di Kampung Tanjung Kala di sini, hari ini.
Ular sawa betina sepanjang enam meter itu ditemui penduduk kampung ketika menebas semak di kebun getahnya.
Anggota APM, Koperal (PA) Muhammad Zulfikar Mohd Fizi berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 10.15 pagi.
"Anggota berjalan kaki sejauh 500 meter selama 15 minit untuk ke lokasi berkenaan dan mendapati reptilia terbabit dalam keadaan melingkar sedang bersalin kulit.
"Disangka haiwan itu kecil saja, rupanya saiznya besar dan kami menggunakan dua penjerut untuk membawa keluar dari semak itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurutnya, reptilia itu bertindak agresif dan kesemua anggota berhempas pulas untuk ‘menundukkannya’.
"Proses membawa keluar mengambil masa apabila haiwan itu sangat berat. Kadangkala terpaksa berhenti untuk melepaskan lelah sebelum meneruskan perjalanan keluar dari kawasan kebun itu.
"Ular terbabit dibawa ke pejabat APM untuk dokumentasi sebelum diserahkan ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Gerik pada jam 3 petang tadi,” katanya.