ISU keselamatan data peribadi kita yang berada di pihak kerajaan sering menjadi kebimbangan dalam kalangan rakyat negara ini seandainya ia bocor kepada pihak luar terutamanya scammer.
Kebimbangan ini ada asasnya apabila Merak Jalanan lihat bagaimana mudahnya data peribadi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bocor terutamanya kepada pihak institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di dalam negara.
Sejak sebelum keputusan SPM diumumkan pada 27 Mei lalu, Merak Jalanan dengar ada ibu bapa sering menerima mesej di WhatsApp atau surat berkaitan tawaran melanjutkan pengajian di beberapa IPTS.
Tawaran itu bukan untuk ibu bapa tetapi anak-anak mereka yang menduduki SPM.
Jumlah tawaran pengajian yang diterima pula semakin rancak selepas keputusan SPM diumumkan.
Timbul persoalan bagaimana data peribadi pelajar yang menduduki SPM boleh diketahui oleh banyak IPTS di negara ini.
Bayangkan, nama, alamat rumah dan nombor telefon bimbit semuanya mereka tahu. Tak mustahil nombor kad pengenalan pun mereka tahu.
Penjualan maklumat pelajar SPM ini pertama kali Merak Jalanan dengar kira-kira 15 tahun lalu daripada seorang rakan yang bekerja di sebuah IPTS.
Menurutnya, syarikatnya akan membeli senarai pelajar SPM ini untuk memudahkan risalah mengenai IPTS itu diedarkan kepada pelajar yang baru dapat keputusan SPM.
Nampaknya ia masih berterusan sehingga hari ini. Merak Jalanan percaya ketirisan data pelajar SPM ini berlaku setiap tahun namun dipandang sepi oleh pihak berkuasa.
Justeru, Merak Jalanan berharap pihak berkuasa memandang serius isu kebocoran data ini dengan menangkap pihak yang menjual data terbabit.
Kalau diguna oleh pihak IPTS mungkin tiada mendatangkan mudarat besar, tetapi bagaimana kalau data ini kemudian dijual pula kepada scammer.