SATU ketika dulu, pasar malam pasti ditunggu-tunggu penduduk setempat. Di situlah ‘syurga’ makanan yang boleh dibeli dengan harga marhaen.
Penulis ketika zaman kanak-kanak dan remaja antara yang teruja setiap kali tiba hari pasar malam berdekatan rumah. Masa inilah dapat membeli makanan kegemaran yang jarang-jarang ditemui di tempat lain.
Zaman berubah, namun pasar malam masih lagi relevan dan terus wujud sehingga hari ini.
Cuma hari ini, pasar malam tidak lagi menjadi keterujaan bukan saja buat penulis, malah mungkin orang lain disebabkan lambakan penjaja jalanan yang beroperasi setiap hari menjadikan juadah senang didapati tidak perlu menunggu hari pasar malam beroperasi.
Baru-baru ini, rakan penulis berkongsi keluhan seorang peniaga pasar malam yang mendakwa jualan makanan tidak lagi begitu rancak berbanding dahulu.
Selain terpaksa bersaing dengan ramai penjaja harian, peniaga itu juga berpandangan orang ramai kini mengambil langkah berjimat dengan mengutamakan perbelanjaan barangan asas lain berbanding makanan siap masak.
Orang ramai yang datang ke pasar malam pun kebanyakan kini bukan lagi mahu membeli makanan masak, sebaliknya mendapatkan keperluan barangan asas yang dijual dengan harga murah, kemudian masak sendiri di rumah.
Situasi di pasar malam tersebut menyebabkan penulis terfikir, betapa rakyat Malaysia terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana berusaha untuk berjimat bagi mendepani situasi ekonomi mencabar ketika ini.
Bagaimana pula kalau satu hari nanti jika subsidi petrol dimansuhkan?
Bercakap kepada Bloomberg pada 17 April lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendedahkan, kerajaan akan mengurangkan subsidi petrol pada tahun ini dalam usaha untuk mengecilkan defisit fiskal negara.
Susulan jangkaan rasionalisasi bahan api itu, kerajaan akan melaksanakan pengurangan subsidi secara berperingkat dengan risiko inflasi meningkat sebelum rancangan itu dilaksanakan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas itu memberi jaminan bahawa pelaksanaan penyasaran rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95 tidak berbangkit dalam masa terdekat ini.
Tidak kiralah cepat atau lambat, rakyat Malaysia perlu bersedia sebarang kemungkinan sekiranya penyasaran rasionalisasi petrol dilaksanakan.
Tidak dinafikan, jaminan pemberian bantuan subsidi bersasar sedikit sebanyak akan melegakan orang ramai. Namun, impak yang paling dibimbangkan ialah kenaikan harga barangan.
Pada pandangan penulis, masyarakat bukannya tidak mahu menghadam segala strategi kerajaan yang mahu membawa Malaysia kembali kepada landasan sepatutnya. Tetapi keutamaan pada masa ini adalah untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan tenang.
Tekanan yang dihadapi masyarakat boleh menjejaskan kesihatan mental, seterusnya berisiko menjejaskan produktiviti pekerjaan termasuklah institusi kekeluargaan.
Hakikatnya, kesan negatif terhadap kualiti modal insan untuk pembangunan negara bagi jangka masa panjang, jauh lebih membimbangkan.
Justeru, diharapkan kerajaan tidak melaksanakan sebarang keputusan pengurangan subsidi petrol tanpa kajian mendalam terhadap kos sara hidup rakyat. Kita tidak mahu kehidupan sosial rakyat Malaysia merudum.
Penulis percaya keprihatinan kerajaan sedikit sebanyak boleh mengembalikan senyuman ibu bapa untuk membeli makanan berkhasiat kepada anak-anak.
Atau sekurang-kurangnya dapat mengurangkan rasa berbelah bahagi seorang bapa untuk membeli pakaian baharu untuk isteri dan anak-anak dek kerana memikirkan poket yang semakin menipis.
Seperti yang penulis pernah lalui semasa zaman kanak-kanak dahulu, gembira tidak terkira apabila ibu bapa membawa pulang makanan kegemaran atau pakaian baharu yang dibeli di pasar malam.
Walaupun murah, cukup untuk memberi seribu satu kebahagiaan.
* Nurhidayah Hairom ialah Wartawan Sinar Harian