Riuh Rewang imbau tradisi lama

Iklan
Peserta yang akan menyertai pertandingan masakan Riuh Rewang pada Ahad ini selepas mendengar taklimat pertandingan di PKPS.

SHAH ALAM - Aktiviti Riuh Rewang yang akan diadakan pada Ahad ini sempena Karnival Rakyat Karangkraf dilihat mampu mengimbau tradisi lama dan memperkenalkan makanan rakyat kepada masyarakat khususnya generasi muda.

Pengurus Komunikasi Strategik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Noor Azreena Abdul Azizi berkata, semua sedia maklum golongan muda pada hari ini kurang gemar memilih makanan rakyat.

Iklan
Iklan
Noor Azreena

Menurutnya, generasi kini lebih terdedah kepada makanan barat seperti burger, spageti dan sebagainya.

"Untuk makluman, Riuh Rewang ini merupakan program yang dilaksanakan dengan kerjasama PKPS dan Karangkraf yang mana ia merupakan pertandingan memasak. Kita ada 10 kumpulan dan setiap kumpulan mempunyai lima ahli, mereka diberi tugas untuk memasak makanan utama serta pencuci mulut.

Iklan

"Tema kita lebih kepada rakyat, saya rasa elok dibuat begini kerana dapat memperkenalkan makanan orang lama kepada anak-anak. Sekarang kita tengok mereka lebih gemar makan burger berbanding masak lemak cili api,” katanya di sini pada Selasa.

Noor Azreena berkata, pihaknya memberi RM400 kepada peserta untuk membeli barangan keperluan dan bahan-bahan untuk mereka memasak nanti.

Iklan

"Peserta perlu buat yang terbaik. Saya rasa cabaran bagi mereka adalah bagaimana untuk memikat hati para juri,” jelasnya.

Peserta, Shafina Suhaimi Selamat, 33, berkata, dia dan kumpulannya bersedia menyahut cabaran memasak makanan rakyat.

Shafina

"Bagaimanapun, saya risau sekiranya menu kami sama dengan kumpulan lain. Oleh itu, kami siap sedia dengan menu kedua, kalau ada kumpulan yang sama menu,” ujarnya.

Nor Ashikin Anwa, 41, pula berkata, penyertaannya dalam pertandingan itu adalah untuk menguji kemahiran dalam bidang masakan.

"Kumpulan kami tidak mempunyai kemahiran menyediakan hidangan dalam jumlah banyak, namun akan cuba buat yang terbaik,” ujarnya.

Karnival Rakyat Karangkraf bakal berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini dari jam 9 pagi hingga 7 petang bersempena ulang tahun Sinar Harian ke-18.

Bertemakan tradisional dan kerakyatan, karnival tersebut mengetengahkan dua komponen utama iaitu Sukan Rakyat dan Pentas Rakyat.