SHAH ALAM - Sempena sambutan ulang tahun kelahiran bapanya, Exco Pemuda UMNO, Datuk Mohd Nazifuddin Najib tidak melepaskan peluang mengucapkan selamat hari lahir kepada bekas Presiden parti itu.
Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga bekas Perdana Menteri dilahirkan pada 23 Julai 1953, menyambut hari kelahirannya yang ke-71 tahun pada Selasa.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Mohd Nazifuddin berkata, 23 Julai merupakan tarikh yang tidak asing buatnya sekeluarga.
"Ia cukup istimewa untuk insan yang hebat buat saya dan rakyat Malaysia. Ulang tahun kelahiran Datuk Seri Najib Razak.
"Ketika ini ayahanda di sebalik tirai besi berhadapan dengan hukuman dunia yang masih belum jelas keadilan untuk diri beliau.
"Namun ayahanda tidak nampak langsung untuk mengalah dalam mencari kebenaran buat dirinya," katanya.
Beliau turut berkongsi rasa kagum terhadap bapanya yang mempunyai kekuatan luar biasa ketika berhadapan dengan ujian berat kali ini.
"Apa yang terlihat setiap kali melawat, bahkan setiap kali ayahanda di mahkamah, hanyalah sebuah senyuman indah di wajah suci milik dirinya.
"Secara tidak langsung mendidik saya serta ahli keluarga yang lain untuk terus redha serta tabah dalam ujian yang didatangi dari Maha Bijaksana, ALLAH.
"Daddy, ayahanda saya, sempena ulang tahun mu ini, di panjatkan doa ke atas Azzawajalla, meminta agar ayahanda diangkat darjat, diberikan kelapangan dalam jiwa, kerahmatan pada umur, diperluaskan ilmunya dan diredai akan semua usaha-usahanya dalam mencari keadilan," titipnya.