SHAH ALAM - Tiga Loji Rawatan Air (LRA) yang dihenti tugas akibat pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah telah kembali beroperasi pada Selasa.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan perkara itu melalui kemas kini yang dibuat setakat jam 9 malam, Selasa.
Menurutnya, pihaknya sedang berusaha meminimumkan impak kepada pengguna di kawasan terjejas.
"Bantuan alternatif melalui lori-lori tangki air telah digerakkan dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
"Bantuan bekalan air alternatif menerusi 17 Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut disediakan untuk kemudahan pengguna di lokasi terlibat," katanya menerusi kemas kini di Facebook.
Katanya, Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.
Selain itu katanya, para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.
Pada Selasa, Air Selangor memaklumkan empat LRA Selangor dihenti tugas berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah pada Selasa dan mengalami gangguan bekalan air pada Rabu.
Empat LRA itu ialah Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, SSP2 dan SSP3.
Bagaimanapun, LRA Rantau Panjang telah kembali beroperasi pada jam 6 petang Selasa manakala tiga yang lain masih dihenti tugas kerana mencatatkan bacaan 1 ton.
Tujuh wilayah terjejas termasuk daerah Petaling, Klang, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Gombak serta Kuala Selangor.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri, Izham Hashim menerusi sidang akhbar dibuat pada malam Selasa memberitahu, bekalan air di tujuh wilayah terjejas dijangka pulih seawal jam 8 pagi ini manakala pulih sepenuhnya selewatnya Jumaat.