LUMUT - Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh menunaikan permintaan ahlinya yang ingin merasai pengalaman menunaikan umrah menerusi Kursus Umrah Perdana di Homestay D'Leemaz, Teluk Muroh di sini pada Ahad.
Penggerak Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh, Datin Maziah Rafie berkata, program yang diadakan julung kali pada tahun ini dilaksanakan selepas ramai ahli Rumah Ngaji yang belum pergi ke Makkah mahu merasai suasana seperti jemaah haji dan umrah.
Menurutnya, selama ini mereka hanya menonton di televisyen dan mendengar pengalaman daripada jemaah yang pernah menunaikan haji dan umrah.
"Sebenarnya kita laksanakan program ini untuk menyemarakkan semangat ahli-ahli Rumah Ngaji ini untuk menunaikan umrah dan haji jika diberikan peluang. Dengan adanya program seumpama ini, pastinya mereka akan berusaha untuk merealisasikan impian untuk berkunjung ke tanah haram itu.
"Dalam program ini, kesemua peserta diberikan ceramah daripada pembimbing umrah yang berpengalaman selain mereka turut menjalani simulasi bagaimana melakukan tawaf mengelilingi Kaabah," katanya kepada Sinar Harian.
Maziah berkata, seramai kira-kira 100 orang terdiri daripada kanak-kanak sehinggalah warga emas yang menyertai kursus berkenaan secara percuma selama lebih tiga jam.
Jelasnya, di dalam al-Quran sendiri menyebutkan mengenai ibadah haji dan umrah menerusi beberapa ayat yang diturunkan ALLAH dan sudah pastilah sebagai umat Islam pasti ada keinginan untuk melaksanakannya.
Menurutnya, Rumah Ngaji itu sendiri ada program dinamakan Arafah #QuranHour yang dilaksanakan sempena perhimpunan terbesar umat Islam di Padang Arafah, Makkah ketika musim haji.
Jelasnya, ia secara tidak langsung membarakan lagi keinginan umat Islam khususnya ahli-ahli Rumah Ngaji untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu atau sekurang-kurangnya menunaikan umrah.
Sementara itu, pembimbing haji dan umrah, Mohd Faiz Mohd Rafeek berkata, ceramah dan perkongsian yang diberikan kepada ahli Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh itu bertujuan memberikan ilmu pengetahuan kepada bakal-bakal jemaah umrah mahupun haji.
"Mungkin sekarang ini ada banyak cara untuk dapatkan ilmu melalui media sosial dan secara maya, tetapi saya rasa kaedah bersemuka lebih mudah difahami serta jemaah dalam merasai sendiri pengalaman itu sebelum mereka berangkat ke tanah suci," katanya dari Al Faiz Travel & Tour Sdn Bhd.
Jelasnya, program kursus seumpama itu merupakan inisiatif yang amat baik untuk dilaksanakan dan perlu diteruskan lagi pada masa akan datang oleh Rumah Ngaji kerana ia memberi manfaat kepada ahli-ahli serta masyarakat setempat.