SHAH ALAM - Semua empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) yang dihenti tugas sementara akibat insiden pencemaran bau dikesan di Sungai Kundang dan Sungai Sembah semalam mula beroperasi sepenuhnya pada Rabu.
Air Selangor dalam satu kenyataan di laman Facebooknya memaklumkan, bekalan air terawat yang bersih dan selamat telah mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada premis pengguna.
"Sehingga jam 6 pagi, peratusan pemulihan bekalan air bagi kawasan-kawasan yang terlibat telah mencapai 9.9 peratus.
"Peratusan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas dijangka akan mencapai sekitar 40 peratus pada jam 8 pagi, 25 Julai 2024 (Khamis) diikuti dengan 90 peratus pada jam 8 malam, 25 Julai 2024 (Khamis).
"Waktu pemulihan penuh bagi kawasan yang terlibat adalah dijangka pada jam 8 pagi, 26 Julai 2024 (Jumaat).” menurut Air Selangor dalam kenyataan di laman media sosialnya itu pada Rabu.
Menurut kenyataan itu, tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.
"Air Selangor telah menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang masih terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
"Bantuan bekalan air alternatif menerusi 17 Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut disediakan untuk kemudahan pengguna di lokasi yang tersenarai.” menurut kenyataan itu lagi.
Pada Selasa, tujuh kawasan di Lembah Klang iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor dilaporkan mengalami gangguan air tidak berjadual susulan empat LRA dihenti tugas sementara.