Maklum pada polis jika mahu buat perhimpunan aman

Iklan
Polis menasihatkan penganjur yang merancang untuk mengadakan perhimpunan aman untuk memaklumkan terlebih dahulu kepada pihaknya. Foto hiasan/foto123rf

ALOR SETAR - Polis menasihatkan penganjur yang merancang untuk mengadakan perhimpunan aman di sini pada Jumaat ini, untuk memaklumkan terlebih dahulu kepada pihaknya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, mereka perlu memberi pemberitahuan seperti mana yang diperuntukkan dalam Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu berkait kehendak berhubung dengan pemberitahuan perhimpunan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara syarat yang perlu dipatuhi adalah penganjur hendaklah memaklumkan kepada pihak polis dengan mengemukakan borang dalam Jadual Keempat Seksyen 10 yang turut menggariskan persetujuan pemunya dan penghuni tempat perhimpunan serta mematuhi garis panduan serta syarat yang ditetapkan.

Siti Nor Salawati

"Polis juga ingin menekankan berkaitan perkara digariskan dalam jadual pertama Seksyen 3 Akta yang sama iaitu kawasan larangan untuk mengadakan perhimpunan adalah rumah ibadat, tempat pengangkutan awam, hospital serta sekolah dan beberapa kawasan larangan yang digariskan di bawah akta ini.

Iklan

"Sehubungan itu, polis meminta pihak penganjur supaya mematuhi semua garis panduan diperuntukkan di bawah akta ini supaya pihak berkuasa akan memudahcara sepanjang perhimpunan berlangsung sekiranya dimaklumkan terlebih awal," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu atau penganjur perhimpunan perhimpunan yang didapati tidak mematuhi peruntukan sebagaimana di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Iklan

"Selain itu, tindakan tegas juga akan diambil kepada pihak yang sengaja menimbulkan sebarang provokasi yang boleh menyebabkan kacau ganggu terhadap ketenteraman awam di daerah ini," katanya.

Perhimpunan aman 'Kedah Bebas Judi' itu dijangka disertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) gabungan Islam dikenali sebagai Gabungan Gerak Rakyat, Hidupkan Amar Makruf (Geraham) bersama masyarakat setempat yang menyokong isu penutupan premis judi di Kedah, dijangka diadakan selepas solat Jumaat.

Perhimpunan itu akan disertai kira-kira 100 gabungan NGO.