SHAH ALAM - Kerajaan perlu mempertahankan polisi sedia ada yang tidak membenarkan sumbangan daripada syarikat arak, rokok dan judi di sekolah walaupun diasak oleh mana-mana pihak untuk mengubahnya.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pergerakan itu menyokong sepenuhnya pendirian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menegaskan bahawa semua sekolah perlu mengikuti panduan diberikan.
"Jika liga bola sepak negara pun tidak dibenarkan syarikat sebegini untuk menyumbang, apa lagi untuk sekolah di dalam negara ini. Saya mohon agar pihak kerajaan untuk mempertahankan polisi yang sedia ada ini walaupun diasak oleh mana-mana menteri untuk mengubahnya.
"Ini negara ada peraturan yang perlu dipatuh, bukan mengikut aturan kamu, Anthony Loke Siew Fook (Setiausaha Agung DAP). Pemuda UMNO menyokong penuh Menteri Pendidikan mengenai isu ini. Bebaskan anak-anak kita daripada anasir yang tidak baik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Pada Selasa, Fadhlina memberitahu bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan mengkaji semula garis panduan kepada institut pendidikan dalam menerima sumbangan atau mengecualikannya kepada sekolah vernakular.
Menurutnya, semua sekolah perlu mengikuti panduan diberikan yang pada pendapatnya tidak terlalu sukar dipatuhi dan tidak mendatangkan mudarat.
Bagaimanapun, Anthony Loke memberitahu akan memberikan penjelasan kepada Kabinet berhubung isu sumbangan dan tajaan syarikat minuman keras kepada sekolah Cina.
Jelasnya, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana pembabitan syarikat minuman keras bagi membantu mengumpul dana untuk sekolah-sekolah Cina sudah berlaku sejak puluhan tahun lalu.