Banjir lumpuhkan Manila dan beberapa kawasan

Iklan
Pejalan kaki mengharungi jalan yang dinaiki air di Manila pada Selasa di tengah-tengah hujan lebat yang dibawa oleh Taufan Gaemi. - Foto: AFP
MANILA - Hujan berterusan akibat Taufan Gaemi dan monsun barat daya menyebabkan kejadian banjir hingga melumpuhkan ibu negara Filipina dan banyak kawasan di Pulau Luzon pada Rabu, lapor Xinhua.

Banjir memaksa penduduk berhampiran Teluk Manila dan kawasan sungai serta pesisir di wilayah tengah dan selatan untuk berpindah.

Sekolah dan pejabat kerajaan ditutup, manakala sekurang-kurangnya 16 penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino.

Bencana itu turut mengakibatkan banyak jalan di wilayah ibu negara tidak boleh dilalui dan beberapa kenderaan terkandas ketika cuba melintasi jalan raya yang ditenggelami air.

Kerajaan masih belum melaporkan kematian berkaitan banjir kali ini.

Radio tempatan melaporkan bahawa seorang budak lelaki berusia 14 tahun hilang selepas mengharungi banjir di wilayah Rizal, timur Manila.

Biro kaji cuaca Filipina, PAGASA memaklumkan Gaemi bergerak ke arah barat laut pada kelajuan 25 kilometer (km) sejam dengan kelajuan 155 km sejam dan angin kencang sehingga 190 km sejam.

Gaemi, taufan ketiga yang membadai Filipina tahun ini dijangka meninggalkan Filipina pada malam Rabu atau awal pagi Khamis. - Bernama