MELAKA - Penolong pegawai tadbir lelaki di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,700 daripada sebuah syarikat pengiklanan.
Muhammad Firdaus Ab Aziz, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Penolong Pegawai Tadbir (Kompetensi) Gred N29 itu telah menerima untuk dirinya suatu barang berharga iaitu wang tunai berjumlah RM2,200 tanpa balasan daripada pengurus Syarikat Pusat Pengiklanan Prisma, Ong Ah Siong yang diketahui syarikat itu mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di daerah Melaka Tengah di sini pada 27 Oktober 2021.
Manakala pertuduhan kedua, dia didakwa telah menerima wang tunai berjumlah RM500 bagi daripada individu dan syarikat sama di lokasi sama antara 15 hingga 31 Januari tahun lalu.
Pendakwaan bagi kesalahan itu dijalankan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohammad Azriff Firdaus mencadangkan jaminan RM5,000 serta syarat tambahan perlu melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Muhammad Firdaus yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan selain menetapkan tarikh 14 Ogos depan bagi serahan dokumen.