Albertine Leo sudah kembali ke pangkuan keluarga

Iklan
Foto yang dikongsi di Facebook Barbie Hui Hui, memaparkan Albertine sudah kembali ke pangkuan keluarganya di Johor.

JOHOR BHARU - Kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui yang dilaporkan hilang, dipercayai diculik di Iskandar Puteri di sini pada Sabtu lalu, sudah kembali ke pangkuan keluarganya.

Menerusi akaun Facebook Barbie Hui Hui, dia berkongsi foto kanak-kanak itu bersama ibunya, Leo Qieo Xin, bapa dan beberapa orang lain yang dipercayai ahli keluarga.

Iklan
Iklan

"Terima kasih semua atas keprihatinan semua masyarakat, dia (kanak-kanak itu) selamat, namun keletihan dan trauma disebabkan insiden yang berlaku beberapa hari ini.

"Kami akan bawa dia pulang untuk berehat dan berkumpul bersama keluarga terdekat bagi memastikan keadaannya terus baik," katanya dalam catatan Facebook pada Selasa.

Iklan

Pemilik akaun itu juga memaklumkan dia sudah diberi kebenaran oleh ibu kanak-kanak itu untuk memuat naik gambar dan hantaran berkenaan.

Difahamkan, kanak-kanak itu menerima rawatan di Hospital Selayang, Selangor pada pagi Selasa dan kemudian dihantar pulang ke Johor Bahru di bawah pengawasan ketat Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum disatukan dengan keluarganya, petang hari sama.

Iklan

Terdahulu, media melaporkan penemuan kanak-kanak itu dalam keadaan selamat di Batang Kali yang disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Polis Johor sebelum itu menahan tiga individu bagi membantu siasatan kes kehilangan mangsa, yang disedari kira-kira jam 8.30 malam Sabtu lalu.

Kanak-kanak tersebut ketika itu mengikut bapanya ke pusat perniagaan Eco Galleria di Iskandar Puteri.

Seramai lima suspek kini ditahan reman, kehilangan mangsa diklasifikasikan semula daripada laporan orang hilang kepada Seksyen 365 Kanun Keseksaan.