KUANTAN- Polis mengesahkan kehilangan remaja perempuan berusia 17 tahun dari Kampung Lama, Lurah Bilut yang dilaporkan hilang sebelum ditemui di Triang, Bera pada Isnin lalu, tiada kaitan dengan kes penculikan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, siasatan awal mendapati remaja terbabit, Nur Aina Faqihah Sharizan melarikan diri dari keluarga.
Menurutnya, siasatan turut mendapati remaja itu pernah dua kali melarikan diri sebelum ini, namun pulang semula ke rumah selepas itu.
"Bagaimanapun kali yang ketiga pada 15 Julai lalu, dia (Nur Aina Faqihah) tidak pulang dalam tempoh lebih lama.
"Pihak polis masih meneruskan siasatan termasuk merakam percakapan beberapa individu berkaitan kes tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Penyerahan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kepada Ketua Jabatan dan Ketua Polis Daerah Kontinjen Pahang di Dewan Tun Razak, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Rabu.
Yahaya berkata, remaja terbabit didapati menumpang kawan ke sebuah daerah sebelum ke Triang.
"Ketika tiba di Triang, dia mungkin hilang arah tujuan sebelum ditemui orang awam dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Hasil pemeriksaan kesihatan juga mendapati tiada kejadian tidak diingini berlaku ke atas remaja itu," katanya.
Sementara itu katanya, sebanyak 27 kes orang hilang dilaporkan di Pahang dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 17 kes telah selesai dan 10 kes masih dalam siasatan.
"Setakat ini, seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia 52 tahun dari Kampung Redan, Mela, Lipis yang dilaporkan hilang sejak lebih dua minggu lalu masih belum ditemui.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Rosdan Mat masih diteruskan, namun kekuatan pasukan pencarian telah dikecilkan sehingga ada perkembangan baharu," katanya.