Murid keracunan makanan ada sejarah makan nasi lemak

Iklan
Laporan Sinar Harian
KOTA KINABALU - Murid yang mengalami keracunan makanan di sebuah sekolah rendah di Pulau Gaya dekat sini didapati mempunyai sejarah makan nasi lemak pada pagi Isnin lalu.

Akibat kejadian itu, jumlah murid mengalami gejalan muntah, cirit-birit dan sakit perut telah meningkat daripada 90 kepada 103 orang setakat ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Asits Sanna berkata, pihaknya melalui Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Kota Kinabalu telah menerima notifikasi kejadian wabak keracunan makanan daripada klinik kesihatan dan hospital kerajaan pada Isnin lalu.

"Sebanyak lapan kes telah dimasukkan ke wad manakala 95 kes lagi dirawat sebagai pesakit luar. Kesemua kes berumur antara enam hingga 12 tahun dan berada dalam keadaan stabil serta tiada kematian dilaporkan.

"Bagaimanapun, sejarah lengkap pergerakan serta pendedahan kes kepada makanan masih dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, tindakan kawalan telah dilaksanakan termasuk memberi rawatan yang bersesuaian kepada semua murid tersebut.

"Ini termasuk menjalankan pengesanan kes secara aktif (ACD), pendidikan kesihatan kepada individu terlibat serta pengambilan sampel makanan, minuman, dan persekitaran bagi tujuan pengesahan punca kejadian.

"Keracunan makanan adalah penyakit yang disebabkan oleh pengambilan makanan atau minuman yang tercemar. Ia boleh disebabkan oleh bakteria atau toksin bakteria tersebut, virus, parasit, bahan kimia seperti racun serangga dan racun rumpai, logam berat, tumbuhan yang beracun seperti cendawan dan hasilan laut seperti kerang," katanya.

Sehubungan itu, Asits menasihatkan pihak sekolah agar sentiasa memantau dan menjalankan pemeriksaan ke atas makanan yang dijual atau dibekalkan di kawasan sekolah.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan seramai 90 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau mengalami keracunan makanan dan terpaksa dirawat di hospital dan klinik sekitar Kota Kinabalu.