Selamatkah pantai Teluk Bayu daripada projek tambakan laut mega?

Iklan

CUTI Tahun Baru Cina di kampung halaman di Pulau Pinang kali ini agak berbeza bagi Merak Jalanan. Sebagai penggemar makanan, sudah semestinyalah cuti di Pulau Pinang lebih banyak dihabiskan dengan singgah di kedai-kedai makanan wajib.

Kebanyakan kedai itu adalah kedai kegemaran sejak bangku sekolah lagi. Antaranya kedai mi sotong, nasi kandar, char kuetiau atau nasi lemak bungkus.

Iklan
Iklan

Bagi kebanyakan kita, tanpa kita sedar, makanan adalah cara untuk kita mengimbau memori zaman muda.

Kali ini kebetulan, beberapa saudara yang turun dari Pahang memberi idea menjejak zaman remaja kami 20 tahun lalu di pantai di sekitar Teluk Kumbar.

Iklan

Ya, Teluk Kumbar merupakan kampung keluarga di sebelah ibu. Dengan kawasan pantai dari rumah nenek cuma 100 meter, aktiviti cuti sekolah banyak dihabiskan dengan terjun ke laut.

Pada waktu itu, kami juga mempunyai satu pantai ‘rahsia’ dikenali pantai Teluk Bayu.

Iklan

Lokasinya yang agak jauh dari kawasan kampung dan laluan aksesnya yang agak sukar menyebabkan Teluk Bayu jarang dikunjungi orang luar.

Merak Jalanan sudah tidak ke sana hampir 20 tahun, sejak rumah nenek dirobohkan untuk memberikan laluan kepada projek pembangunan.

Sabtu lalu, Merak Jalanan menyaksikan, rupa-rupanya, Teluk Bayu bukan lagi ‘port piknik’ rahsia kami. Pantai itu kini dipenuhi ramai pengunjung.

Namun, yang pasti di sebalik kemeriahan itu, air di pantai Teluk Bayu sudah tidak sejernih dulu. Air laut kelihatan agak keruh akibat selut.

Kami perlu menunggu sehingga jam 11 pagi, sewaktu air mula pasang barulah air sedikit jernih.

Namun dengan kerajaan negeri makin ghairah untuk memulakan pembinaan tiga buah pulau buatan di selatan Pulau Pinang tidak lama lagi, ini mungkin kali terakhir Merak Jalanan melawat Teluk Bayu. Pantai itu mungkin hanya tinggal dalam lipatan sejarah kami.