KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menaja 38 lagi pelajar di bawah Program Global Digital Leadership (GDL) membabitkan nilai tajaan berjumlah RM4.94 juta.
Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ia adalah kumpulan ketiga anak peneroka dan generasi baharu Felda yang diberi peluang melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang teknologi maklumat di Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU).
Menurutnya, sebelum ini kumpulan pertama dan kedua masing-masing 12 dan 38 pelajar telah ditaja Felda dengan jumlah keseluruhan pelajar yang ditaja kini berjumlah 88 orang.
"Inisiatif pendidikan terhadap generasi baharu ini merupakan salah satu inisiatif Felda dalam usaha memperkasa pelajar cemerlang Felda untuk menguasai kemahiran dalam bidang kepimpinan digital global.
"Ia bertujuan melahirkan generasi baharu Felda yang memiliki pengetahuan tinggi dan mahir dalam bidang digital yang semakin penting dalam era ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan tajaan Program Global Digital Leadership (GDL) dengan kerjasama Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) di Dewan Perdana Felda di sini pada Rabu.
Ahmad Shabery berkata, mereka perlu melalui modul yang telah disediakan termasuk Program Pengajian Akademik, Intensive English Programme (IEP), Neuro Linguistic Programming (NLP) dan kelas bahasa asing (bahasa Korea).
"Felda sentiasa mengutamakan bidang pendidikan serta pembangunan insan dan berharap kerjasama ini memberi manfaat kepada lebih ramai lagi generasi baharu Felda.
"Langkah ini juga diharap dapat membawa perubahan dan membantu mereka dalam menerokai bidang teknologi terkini sambil memperkasakan pengetahuan komputer dan teknologi,” katanya.
Beliau berkata, dengan adanya institusi pengajian tinggi terkemuka seperti APU, ia akan menjadi sumber motivasi pelajar untuk terus berinovasi dengan menjana pendapatan baharu dalam bidang teknologi selepas mereka tamat pengajian.
"Kepakaran yang dimiliki oleh pelajar dalam bidang teknologi ini diharap dapat membantu keseluruhan Gagasan Felda di semua peringkat untuk seiring dan mengecilkan jurang sempadan teknologi dengan komuniti bandar.
"Yayasan Felda merakamkan penghargaan kepada pihak Felda dan FGV kerana menawarkan biasiswa penuh kepada generasi baharu untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi," katanya.
Tambahnya, kerjasama yang terjalin ini memberi manfaat kepada pelajar Felda dalam menerokai bidang teknologi maklumat antaranya System Security, Cloud Engineering, Network Computing, Mobile Technology, Internet of Things (IoT), Digital Transformation, Financial Technology (FinTech) dan Business Information Systems.