Beruang matahari ceroboh rumah, makan 15kg minyak masak terpakai

Iklan
Beruang matahari jantan seberat 140kg yang memasuki perangkap itu akan dilepaskan ke habitat asalnya.

SETIU - Seekor beruang matahari yang sebelum ini pernah menceroboh masuk ke rumah penduduk di Kampung Padang Serai di sini berjaya memasuki perangkap yang dipasang pagi Selasa.

Menurut seorang penduduk, Amir Hakim Mohd Zaki, 21, sebelum ini beruang itu pernah menceroboh dan memakan sisa makanan yang berada di dalam singki dapur rumahnya.

Iklan
Iklan

"Kejadian ini berlaku bulan lepas dan minyak masak terpakai yang disimpan di bahagian belakang dapur rumah kami juga turut diselongkar.

"Kira-kira 15 kilogram minyak masak terpakai yang di simpan di dalam botol itu habis dimakan haiwan berkenaan dan ianya disedari apabila kami menjumpai botol minyak tersebut di sekitar kawasan rumah," katanya ketika kepada pemberita, di sini pada Rabu.

Iklan
Amir Hakim menunjukkan lokasi beruang itu memasuki perangkap yang dipasang berdekatan rumahnya di Kampung Padang Serai, Setiu.

Seorang lagi penduduk, Ramli Jusoh, 63, berkata, penduduk setempat berasa lega selepas haiwan itu berjaya ditangkap.

"Kami bersyukur sebab sebelum ini penduduk kampung diselubungi rasa takut kerana ia beberapa kali dilihat berkeliaran di kawasan rumah penduduk sejak dua bulan lalu.

Iklan

"Sepanjang tempoh itu kami tak berani untuk keluar rumah kerana bimbang diserang sekiranya terserempak dengan beruang tersebut," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong ketika dihubungi berkata, beruang jantan seberat 140 kilogram (kg) itu dikatakan masuk perangkap yang dipasang pihak Perhilitan pada awal pagi.

Menurutnya, perangkap itu dipasang sejurus menerima aduan berhubung gangguan haiwan liar itu oleh penduduk kampung.

"Kita telah menerima aduan daripada penduduk setempat mengenai gangguan seekor beruang sejak 12 Jun lalu.

"Susulan daripada itu kita berjaya menangkap seekor beruang pada 20 Jun lalu dan semalam (Selasa) seekor lagi ditangkap di kampung yang sama," katanya.

Kean Seong memberitahu, beruang berkenaan telah dilepaskan kembali ke habitat asalnya untuk kemandirian hidupan tersebut.