SHAH ALAM - Program kutipan dana di sebuah sekolah di Sungai Pelek, baru-baru ini bukanlah isu perkauman, sebaliknya ia melibatkan isu moral dan agama.
Ketua Penerangan Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Nurul Syazwani Noh berkata, penerimaan dana dari industri itu secara tidak langsung memberikan mesej salah dan normalisasi kepada murid berkenaan logo arak dan sumber kewangan yang bertentangan dengan nilai moral dan etika pendidikan.
"Sebagai sebuah negara pelbagai, kita perlu mencari jalan tengah yang menghormati nilai-nilai semua pihak dan memastikan kebajikan pendidikan anak-anak kita tidak terjejas," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang memberitahu, kerajaan seharusnya mendengar dan memahami kebimbangan rakyat tanpa menuduh mereka menghasut atau meremehkan isu sensitif berkenaan.
Ujar Nurul Syazwani, kerajaan perlu bersikap konsisten dalam prinsip dan tindakan mereka dan harus memahami kebimbangan rakyat.
"Jangan semua teguran dilihat dari segi politik semata-mata terutama membabitkan isu pendidikan," jelas beliau.
Katanya, isu tajaan minuman keras itu membangkitkan reaksi dalam kalangan umat Islam yang melihat arak sebagai suatu yang haram dan tidak patut dikaitkan dengan pendidikan.
"Timbalan Menteri menganggap ini sebagai hasutan bertujuan untuk memanipulasi emosi masyarakat.
"Mengapa kita terpaksa menerima dana dari syarikat arak dan adakah ini mencerminkan kekurangan dana dari kerajaan untuk sektor pendidikan?.
"Jika benar, ini adalah isu yang lebih besar yang perlu ditangani dengan segera," tambah beliau.
Sinar Harian pada 19 Julai lalu melaporkan, Pemuda Pas Selangor menyelar penganjuran program amal di sebuah sekolah di negeri ini yang didakwa dicemari dengan penajaan syarikat gergasi arak.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, pihak sekolah sepatutnya lebih sensitif berhubung perkara itu kerana ia dilakukan secara terang-terangan termasuk kehadiran pemimpin kerajaan untuk memberikan sokongan.
Jumaat lalu, Aiman Athirah yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dilaporkan telah memberi penjelasan mengenai kehadirannya pada majlis itu.
Katanya, sebagai tetamu yang diundang beliau tidak diberitahu oleh penganjur mengenai senarai penyumbang sehingga tiba di lokasi program yang turut dihadiri sebuah syarikat pengeluar minuman keras.