APABILA kita berbicara mengenai penyakit seperti koronavirus dari China yang boleh meragut nyawa, kita mudah dibelenggu dengan ketakutan yang amat sangat.
Sudah menjadi resam dalam hidup kebanyakan manusia, kita lebih mudah takut, bimbang dan bertindak di luar dugaan terhadap perkara-perkara yang sukar dilihat dengan mata kasar berbanding realiti di depan mata.
Sebagai contoh berapa ramai orang yang takut dan bimbang dengan penyakit berkaitan jantung yang meragut nyawa kira-kira 51 orang Malaysia setiap hari.
Ini kerana berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, terdapat sebanyak 18,267 kematian di Malaysia pada tahun 2018 adalah berkaitan jantung.
Namun, ketakutan dan kebimbangan orang ramai terhadap penyakit misteri koronavirus diburukkan lagi dengan penyebaran berita-berita tidak benar oleh individu tidak bertanggungjawab di platform media sosial.
Daripada berita palsu kematian seorang warga emas di Gelang Patah akibat koronavirus, pesakit-pesakit baru di Seremban, Ipoh dan Melaka sehinggalah tangkap layar berita kononnya semua negara telah melarang kemasukan pelancong China kecuali Malaysia.
Apa yang membimbangkan apabila berita palsu yang mungkin dibuat sekadar suka-suka atau mungkin juga dengan niat tidak baik itu menjadi viral sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.
Malah, lebih buruk apabila muncul pula ramai pakar bidan terjun di Facebook, Instagram dan Twitter. Ada yang pakar virus, ada pakar perubatan dan ada juga pakar haiwan eksotik.
Hakikatnya tindakan seperti itu sebenarnya lebih cepat mengundang panik rakyat berbanding membantu menangani krisis koronavirus.
Pihak berkuasa tidak wajar memberi muka kepada pihak yang tidak bertanggungjawab seperti itu. Kebimbangan rakyat tidak seharusnya dipermainkan dengan berita-berita palsu, lebih buruk apabila ia dijaja untuk dijadikan modal politik.
Ketika Kementerian Kesihatan bekerja keras membuat saringan ketat di pintu-pintu masuk Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga seharusnya tangkas bertindak menumpaskan penyebar berita viral palsu koronavirus itu.
Segelintir rakyat tidak bertanggungjawab menjadi musuh masyarakat.