SETIAP kali menjelang tahun baru, ramai dalam kalangan kita meletakkan azam mahu menyimpan wang untuk kegunaan kecemasan dan masa depan.
Bagi yang berjaya menyimpan, pastinya mereka berazam untuk ‘kedekut’ berbelanja agar jumlah lebihan wang gaji dapat disimpan lebih banyak berbanding tahun sebelumnya.
Ironinya, kedatangan 2020 dengan trend ekonomi masih tidak seimbang, pendapatan diterima tidak selaras dengan kos sara hidup, terpaksa menjelaskan pelbagai bil, kos menampung keluarga yang tinggi menjadikan majoriti rakyat terutama di bandar memiliki gaji ‘cukup makan’ atau dalam kata lain tiada baki gaji untuk disimpan.
Kajian Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2019 dengan kerjasama Visa mendedahkan sebanyak 43 peratus rakyat di negara ini membelanjakan semua pendapatan mereka.
Ramai dalam masyarakat kita sebenarnya tidak memahami konsep simpanan asas. Kebanyakan akan menyimpan apabila mempunyai lebihan wang.
Persoalannya, apakah faktor gaji cukup-cukup makan atau rakyat kita tidak celik kewangan menyebabkan mereka lemah mengurus wang sehingga tidak mampu menyimpan?
Media melaporkan kajian Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati 75 peratus daripada rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan RM1,000.
Keadaan sebegini boleh digambarkan seperti daripada empat individu yang ditemui, tiga daripada mereka tidak mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM1,000.
Sedangkan amatlah disarankan untuk mempunyai sekurang-kurangnya tiga kali ganda daripada gaji bulanan sebagai simpanan yang diletakkan sebagai tabung kecemasan.Untuk congak paling mudah, jika gaji sebulan adalah sebanyak RM3,000, pastikan dalam akaun simpanan kecemasan telahpun tersedia wang bernilai RM9,000.
Menurut BNM, hanya enam peratus rakyat Malaysia mempunyai wang mencukupi untuk meneruskan hidup lebih enam bulan pada waktu kecemasan atau tempoh susah manakala 18 peratus lagi boleh hidup lebih tiga bulan.
Sebagaimana kata-kata ‘langit tidak selalunya cerah’, begitu juga dengan kehidupan. Kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa depan, mungkin nikmat kesihatan ditarik atau mungkin dibuang kerja.
Laporan media mengenai isu pengecilan operasi syarikat, pekerja hilang pekerjaan sejak kebelakangan ini sepatutnya dijadikan iktibar untuk sentiasa hemah berbelanja dan menyimpan wang untuk kecemasan.
Menurut Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, Jabatan Tenaga Kerja merekodkan sejumlah 24,000 pekerja telah diberhentikan oleh majikan bagi tempoh Januari sehingga September tahun lalu.
Jika tiada persediaan simpanan wang kecemasan, pastinya individu terlibat akan lebih tertekan untuk menghadapinya. Mungkin akan ada yang terpaksa meminjam daripada rakan dan keluarga.
Lebih teruk, mereka terpaksa berhutang dengan ah long sedangkan mereka sedia maklum kesannya jika gagal melunaskan hutang ceti haram itu.
Jika tidak rumah disimbah cat merah, mungkin nyawa peminjam dan ahli keluarga yang tidak berdosa menjadi mangsa.Menabung guna cara unik
Banyak tip pengurusan dikongsi oleh pakar-pakar kewangan di media sosial yang boleh diikuti.
Kini juga sudah menjadi trend setiap awal tahun di media sosial tersebar cerita pengguna berkongsi kejayaan menyimpan wang dengan menggunakan pelbagai cara unik.
Penulis tertarik dengan perkongsian pengguna Facebook yang berjaya menyimpan hampir RM10,000 dengan menggunakan teknik mengasingkan RM20 dan RM5 setiap hari dalam masa setahun.
Duit itu disimpan dalam balang yang dihias cantik. Bukan sahaja perlu istiqamah menabung bermula hari pertama setiap tahun, malah mendenda diri sendiri sekiranya gagal menyimpan atau terguna wang tersebut.Ada juga pengguna Facebook berkongsi kaedah hampir sama dengan mengasingkan RM1 dan RM5 setiap hari selama setahun dan hasilnya memperoleh simpanan empat angka.
Apa salahnya jika kita mengikut cara mereka atau sekurang-kurangnya kegigihan dan kejayaan mereka mendisiplinkan diri menabung dijadikan inspirasi. Apa yang penting matlamat menyimpan wang tercapai.