Kajian 20,000 dokumen tentukan hubungan Kedah, Pulau Pinang akan dibentang - Sanusi

Iklan
Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR - Kerajaan negeri akan membentangkan dapatan kajian pasukan penyelidik sejarah ke atas ribuan dokumen diperolehi di luar negara bagi melihat fakta sebenar mengenai hubungan Kedah dan Pulau Pinang.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dapatan kajian yang akan menentukan hala tuju baharu antara Kedah dan Pulau Pinang itu termasuklah berkaitan tuntutan pajakan dan pampasan air akan diumumkan pada Disember depan.

Iklan
Iklan

Kata beliau, pasukan penyelidik terlibat sedang meneliti dokumen diperoleh di luar negara termasuklah England, Thailand, Belanda dan Indonesia.

"Dapat banyak dokumen. Saya difahamkan 20,000 dokumen sejarah, kebanyakannya tentang laporan daripada negeri-negeri selat kepada kerajaan British pada masa itu.

Iklan

"Saya pun sudah teliti dah sikit dokumen-dokumen yang berkaitan yang ada di British Library dan British National Archieve yang akan menjadi sebahagian daripada rujukan kepada kajian-kajian sedang dilakukan oleh negeri Kedah," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.

Iklan

Beliau menjelaskan, kumpulan penyelidik melakukan kajian ini bukan hanya untuk membolehkan tuntutan dibuat ke atas Pulau Pinang semata-mata, sebaliknya ia juga dilaksanakan demi menjelaskan hubungan antara dua negeri tersebut.

"Kebanyakannya adalah laporan pentadbiran negeri-negeri Selat dan ketika itu dihantar kepada House of Common dan Straits Settlement Office di London," katanya.

Beliau berkata, dapatan kajian pasukan pengkaji terdiri dari sejarawan dan pakar perundangan diharapkan dapat mengemukakan secara berfakta ilmiah berdasarkan hakikat sebenar kedudukan Kedah dan Pulau Pinang.

"Isu ini lama sudah dan kita tidak pernah duduk diam, nanti mereka kata kita saja-saja hendak duit percuma (sedangkan) bukan. Saya hendak jadikan perkara yang kita ungkap sejak ratusan tahun lamanya sebagai fakta, akhirnya kita kumpul semua bahan dan (jelaskan) kedudukan secara berfakta," katanya.

Tambah beliau, dapatan kajian berkenaan diharapkan dapat menjelaskan kedudukan dan hubungan dua negeri itu sebelum ini, sekaligus membolehkan Kedah menentukan hala tuju baharu.

"Faktanya banyak tapi orang bercakap berasingan. Jadi saya kumpulkan semua itu (dan) inilah hakikat," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Muhammad Sanusi terus menegaskan bahawa Pulau Pinang adalah milik negeri tersebut.

Jelasnya, Kedah hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja.

Bagaimanapun, kenyataan Muhammad Sanusi terbabit mencetuskan kontroversi dan perdebatan antara pelbagai pihak berhubung hubungan Kedah dan Pulau Pinang.