PUTRAJAYA - Kerajaan akan mengumumkan beberapa langkah penambahbaikan termasuk pada perundangan berkaitan isu buli siber dalam masa terdekat.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, jawatankuasa khas tangani isu buli siber telah mengadakan sesi perbincangan dan mengenal pasti isu itu.
"Kita sudah mewujudkan jawatankuasa di antara empat kementerian dan telah mengadakan beberapa sesi perbincangan dan (berjalan) dengan baik.
"Kita sudah mengenal pasti isu dan langkah yang akan diambil. Kita akan umumkan langkah-langkah ini dalam masa terdekat," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Jawatankuasa itu melibatkan Kementerian Komunikasi, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Digital serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi).
Sebelum ini dilaporkan jawatankuasa melibatkan empat kementerian itu akan meneliti secara keseluruhan sebelum meminda Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi membanteras gejala buli siber yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Oktober.
Desakan penggubalan undang-undang baharu itu adalah susulan kematian pempengaruh Rajeswary Appahu, atau lebih dikenali sebagai Esha, yang menjadi mangsa buli siber.
Wanita itu ditemukan meninggal dunia di sebuah unit kondominium di Setapak, Kuala Lumpur pada 5 Julai lepas iaitu sehari selepas membuat laporan polis berhubung buli siber yang dihadapinya.
Minggu lepas, pemilik rumah kebajikan P. Shalini yang dikaitkan dengan kematian Esha didakwa di Mahkamah Majistret namun hanya dijatuhi hukuman denda maksimum RM100.
Gobind turut memberi jaminan bahawa kerajaan memandang serius isu buli siber dan mengambil langkah bagi perkukuh undang-undang sedia ada selain mengkaji semula hukuman sedia ada.
"Kita menggalakkan semua (orang) menggunakan platform digital tetapi kerajaan mengambil serius aspek keselamatan. Kita tidak akan bertolak ansur dengan isu buli siber, jika berlaku tindakan tegas akan diambil," katanya. - Bernama