KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Audit (Pindaan) 2024, RUU Timbang Tara (Pindaan) 2024 dan RUU Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan (Pindaan) 2024 di bawah kelolaan Jabatan Perdana Menteri.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran ketika menggulung perbahasan RUU Audit (Pindaan) 2024 berkata, ia bertujuan mengukuhkan akta melalui peruntukan baharu selaras dengan keperluan kehendak semasa dan peluasan bidang tugas Ketua Audit Negara.
"Selaras dengan perkembangan semua yang melibatkan aspek tatakelola dan pengurusan wang awam supaya sentiasa teratur dan berakauntabiliti, maka pindaan Akta Audit 1957 atau Akta 62 ini amat bertepatan selepas 33 tahun tidak dipinda.
"Pindaan RUU ini penting bagi memperkasakan peranan institusi Ketua Audit Negara untuk memelihara integriti pengurusan kewangan, meningkatkan kecekapan dan memperkukuh kepercayaan rakyat kepada kerajaan," katanya.
RUU bagi meminda akta yang berkuat kuasa sejak 1957 itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 21 Senator.
Untuk rekod, Akta 62 telah dipinda sebanyak dua kali iaitu pada 1978 dan 1991. Pindaan pada 1978 berhubung keperluan pengauditan prestasi yang menekankan aspek ekonomi, kecekapan dan keberkesanan di bawah perenggan 6(d) Akta 62, manakala pindaan pada 1991 bertujuan memperuntukkan kuasa untuk meminda Jadual di bawah Seksyen 11 Akta 62.
Bagi RUU Timbang Tara (Pindaan) 2024, Kulasegaran berkata pindaan Akta Timbang Tara 2005 (Akta 646) antara lain bagi meningkatkan kedudukan Malaysia dalam komuniti timbang tara antarabangsa dengan menambah baik struktur organisasi Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia.
Sementara itu, Kulasegaran berkata, RUU Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan (Pindaan) 2024 berbangkit daripada Akta Timbang Tara yang memperuntukkan perubahan nama Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur (PTSKL) kepada Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).
Perkara ini supaya ia selaras dengan pelaksanaan Perjanjian Tambahan antara kerajaan Malaysia dengan Pertubuhan Perundingan Undang-Undang Asia-Afrika yang berhubungan dengan AIAC di Kuala Lumpur.
Persidangan Dewan Negara bersambung esok. - Bernama