VIENTIANE - Malaysia, Laos dan Indonesia meneruskan mekanisme troika dalam usaha untuk mengembalikan semula demokrasi di Myanmar, sebuah negara anggota ASEAN yang bergolak.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, mesyuarat perundingan tidak rasmi dengan Pengerusi ASEAN sebelum, kini dan yang akan datang mengenai pelaksanaan Konsensus Lima Perkara, mekanisme troika telah dibincangkan untuk membantu menangani masalah di Myanmar.
Troika secara umumnya merupakan konsep penggiliran pengerusi sesuatu acara bagi memastikan kesinambungan isu-isu yang dibincangkan.
"Dalam perbincangan tiga negara tadi iaitu Malaysia, Indonesia dan Laos, kita telah beri pandangan bersama-sama cara untuk kita pastikan Junta atau pihak tentera yang telah merampas kuasa di Myanmar itu mengembalikan semula hak rakyat Myanmar dan hak asasi mereka di bela.
"Kita mahu melihat junta tentera ini mengembali semula demokrasi di Myanmar dengan secepat mungkin," katanya kepada media Malaysia ketika menghadiri Mesyuarat Menteri Luar ASEAN ke-57 (AMM ke-57) dan Mesyuarat Berkaitan di sini Rabu.
Namun, Mohamad berkata, mekanisme troika ini tidak boleh terlampau eksklusif dan tegas dalam pendekatan, sebaliknya perlu berfikiran terbuka.
"Penglibatan perlu dilakukan sebanyak mungkin dengan pihak-pihak yang terlibat kerana di Myanmar ini bukan pihak junta sahaja, tetapi ada banyak pihak yang terlibat terutamanya, pihak-pihak yang nak merdeka sendiri dan macam-macam lagi... jadi banyak pihak berkepentingan di Myanmar ini yang perlu kita temui.
"Ini memerlukan kerjasama semua pihak untuk kita pastikan supaya isu Myanmar ini, bukan dapat diatasi tetapi dapat kita jalankan suatu usaha untuk menjurus kepada negara Myanmar mengadakan pilihanraya bebas supaya rakyat Myanmar dapat memberikan mandat kepada sesiapa sahaja yang mereka rasakan boleh menerajui kerajaan pada ketika itu," katanya.
Sementara itu mengenai isu Rohingya, Mohamad berkata, perkara itu telah dibangkit ketika Mesyuarat Suamuka bersama wakil-wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR).
Katanya, beliau telah menyatakan bahawa isu Rohingya ini 'bukan isu domestik atau hal dalaman Myanmar' kerana perkara itu telah memberi banyak kesan iaitu kesan yang 'berat dan besar' kepada negara jiran, khususnya Malaysia.
"Malaysia secara terus telah pun terjejas dengan masalah yang wujud di Myanmar dengan orang Rohingya lari dari negara mereka kerana ditindas, dibunuh dan kampung dibakar... mereka lari dan mereka telah menuntut duduk atau datang ke Malaysia.
"Malaysia pula sebagai negara berdaulat, kita menghormati hak asasi manusia dan perikemanusiaan jadi kita terpaksa menerima pelarian ini dengan tujuan supaya pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), membantu Malaysia untuk mereka menempatkan pelarian ini di negara ketiga," katanya.
Jelasnya, PBB pula terlalu perlahan untuk menjalankan tugas mereka untuk menempatkan pelarian ini ke negara ketiga dan Malaysia amat terkesan dengan isu ini.
"Jadi kita akan pastikan Malaysia akan mendapat sokongan daripada seluruh anggota negara ASEAN dan juga kita menyarankan agar badan dunia seperti PBB memainkan peranan juga untuk bantu menangani masalah Rohingya ini," katanya.
Dalam mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), Mohamad berkata semua negara-negara Asean bersetuju untuk memastikan agar Asia Tenggara terus menjadi sebuah rantau bebas nuklear.
Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025, selepas Laos pada tahun ini dan Indonesia tahun sebelumnya. - Bernama