[DIKEMAS KINI] KEMARAU panjang untuk mengapai pingat emas sulung Malaysia pada temasya sukan terulung di dunia iaitu Sukan Olimpik masih lagi berupa igauan mimpi di siang hari.
Bermula pada penyertaan pertama atas nama Persekutuan Tanah Melayu yang menyertai Sukan Olimpik Melbourne (1956), kita antara enam negara Asia Tenggara yang masih terus diulit mimpi yang panjang bersama Myanmar (1948), Kemboja (1956), Laos (1980), Brunei (1988) dan Timor Leste (2004) yang masih lagi belum mendapat kilauan emas sejak penyertaan pertama di Olimpik.
Sekali gus menggambarkan bahawa ini kumpulan negara yang belum lagi boleh mendabik dada atau duduk sebaris dengan lima negara pelopor pingat emas Sukan Olimpik dari Asia Tenggara iaitu Indonesia, Thailand, Vietnam, Singapura dan Fillipina.
Indonesia muncul negara Asia Tenggara pertama menamatkan kemarau 40 tahun pingat emas di Sukan Olimpik sejak penyertaan julung kali mereka di Olimpik Helsinki 1952, Finland.
Pada edisi Munich 1972, legenda badminton dunia Rudy Hartono @ Nio Hap Liang pada waktu itu mencatat sejarah menyumbang pingat emas pertama Indonesia menerusi acara badminton perseorangan.
Malah Indonesia juga memperoleh pingat emas keduanya menerusi gandingan beregu legenda mereka iaitu Ade Chandra dan Christian Hadinata.
Empat tahun selepas itu, pada ketika saya turut bertugas membuat liputan di Atlanta 1996, peninju sensasi Thailand, Somluck Kamsing pula mencetus fenomena apabila menamatkan kemarau 44 tahun negara gajah putih itu.
Kejayaan itu ternyata menggembirakan seluruh rakyat Thailand dan Maharajanya apabila merangkul pingat emas pertama menerusi acara tinju ‘featherweight’ lelaki.
20 tahun selepas itu iaitu pada Sukan Olimpik Rio 2016, negara Asia Tenggara serentak iaitu Singapura dan Vietnam turut mencatat sejarah sukan negara masing-masing.
Singapura menamatkan igauan selama 68 tahun sejak penyertaan pertama di London 1948 apabila mendapat kilauan emas menerusi perenang sensasinya Joseph Schooling menerusi acara 100 meter kuak kupu-kupu.
Sementara Vietnam yang menyertai Sukan Olimpik sejak Helsinki 1952 menamatkan kemarau pingat emas selama 64 tahun melalui penembaknya Hoang Xuan Vinh menerusi acara 10 meter air pistol lelaki.
Paling mengharukan adalah kejayaan atlet angkat berat wanita Fillipina yang terperangkap di Malaysia hampir dua tahun sewaktu dilanda wabak Covid-19 hingga terpaksa menjalani latihan di garaj kereta sebuah rumah di Melaka.
Namun di sebalik tempat latihan serba kekurangan, Hidilyn Diaz sangat luar biasa apabila mencipta sejarah negaranya Fillipina dengan merangkul pingat emas pertama di Tokyo 2020 (2022) menamatkan kemarau 98 tahun sejak penyertaan pertama di Paris 1924.
Sekali gus menyaksikan sehingga kini hanya lima negara Asia Tenggara berada pada kelas tersendiri menerusi pencapaian tertinggi memenangi pingat emas di Sukan Olimpik, sukan paling berprestij dunia.
Thailand terkehadapan dengan 10 pingat emas (empat tinju, lima angkat berat, satu taekwondo), lapan perak dan 17 gangsa. Sejak memenangi pingat emas pertama di Atlanta 1996, mereka tidak pernah gagal membawa pulang pingat emas kecuali London 2012.
Penyumbang pingat untuk Thailand setakat ini adalah menerusi sukan tinju, angkat berat dan taekwondo.
Indonesia pula di kedudukan kedua dalam kalangan negara Asia Tenggara dengan lapan pingat emas (semua badminton), 14 perak dan 15 gangsa.
Sejak memenangi pingat emas pertama di Barcelona 1992 mereka juga tidak pernah gagal membawa pulang pingat emas kecuali di London 2012.
Penyumbang pingat untuk Indonesia adalah menerusi empat jenis sukan iaitu badminton, angkat berat, taekwondo dan memanah.
Fillipina negara di kedudukan ketiga dengan satu pingat emas (angkat berat), lima perak dan lapan gangsa. Apakah dengan pencapaian pingat emas pertama di Tokyo 2020 (2022) akan menjadi ‘ibu’ kelahiran pingat emas seterusnya kepada Fillipina di Paris 2024 nanti.
Penyumbang pingat untuk Fillipina adalah menerusi tiga jenis sukan iaitu angkat berat, tinju dan renang.
Timbul persoalan sehingga kini, bilakah Malaysia akan menamatkan kemarau hampir 68 tahun (Paris 2024) untuk merangkul pingat emas sulung negara.
Ia bagi menghapuskan badi malang itu sejak hampir-hampir berjaya melakukannya menerusi legenda badminton negara hasil pingat perak Datuk Lee Cheong Wei (Beijing 2008, London 2012, Rio 2016), Goh V Shem & Tan Wee Kiong (Rio 2016), Cheong Jun Hoong & Pandelela Rinong (Rio 2016) serta Datuk Azizulhasni Awang (Tokyo 2020 (2022)).
Sehingga kini Malaysia telah memenangi lapan pingat perak dan lima pingat gangsa kecuali kempunan pingat emas sehingga kini.
Penyertaan teramai atlet negara ke Sukan Olimpik adalah pada Tokyo 1964 seramai 62 atlet penyertaan paling sedikit negara yang layak menyertai Sukan Olimpik adalah seramai sembilan orang di Seoul 1988.
Pada edisi ke 33 di Sukan Olimpik Paris yang bermula 26 julai hingga 11 Ogos ini seramai 26 atlet (13 lelaki dan 13 wanita) daripada 10 jenis sukan layak untuk mewakili negara kali ini (22 secara merit, empat secara wild-card).
TERJUN
Bertrand Rhodict Lises
(10 meter Platform Lelaki)
(DEBUT)
Nur Dhabitah Sabri
(3 meter Papan Anjal Wanita)
(WILD CARD)
RENANG
Khiew Hoe Yean
(400 meter gaya bebas lelaki)
(DEBUT, WILD CARD)
Tan Rouxin
(100 meter Kuak Dada Wanita)
(DEBUT, WILD CARD)
PELAYARAN
Khairulnizam Mohd Affendy
(Men’s One Person Dinghy –ILCA 7)
Nur Shazrin Mohamad Latif
(Women’s One Person Dinghy–ILCA 6)
MENEMBAK
Johnathan Wong Guanjie
(10 meter Air Pistol Lelaki)
MEMANAH
Ariana Nur Dania Mohamad Zairi
(Individu Wanita, Berpasukan Wanita)
(DEBUT)
Syaqiera Mashayikh
(Berpasukan Wanita)
Nurul Azreena Mohd Fazil
(Berpasukan Wanita)
BERBASIKAL
Nur Aisyah Mohamad Zubir
(Lebuh Raya Wanita)
(DEBUT)
Datuk Mohd Azizulhasni Awang
(Keirin Lelaki, Sprint Lelaki)
Muhammad Shah Firdaus Sahrom
(Keirin Lelaki, Sprint Lelaki)
Nurul Izzah Izzati Mohd Asri
(Keirin Wanita, Sprint Wanita)
ANGKAT BERAT
Mohamad Aniq Kasdan (61 kilogram lelaki)
(DEBUT)
BADMINTON
Lee Zii Jia
(Perseorangan Lelaki)
Goh Jin Wei
(Perseorangan Wanita)
(DEBUT)
Aaron Chia- Soh Wooi Yik
(Beregu lelaki)
Pearly Tan-M Thinaah
(Beregu wanita)
(DEBUT)
Chen Tang Jie-Toh Ee Wei
(Beregu Campuran)
(DEBUT)
GOLF
Gavin Kyle Green
(Individu Lelaki)
Ashley Lau Jen Wen
(Individu Wanita)
(DEBUT)
OLAHRAGA
Muhammad Azeem Mohd Fahmi
(100 meter Lelaki)
(WILD CARD)
*WC - Wild card
*Debut - Layak kali pertama
Sasaran negara di Paris adalah untuk membawa pulang satu pingat emas yang diidam-idamkan selama ini, sekaligus benar-benar menguji keberkesanan impak program Road To Gold (RTG) yang dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh pada Januari 2023.
Selamat maju jaya kepada atlet negara dan semoga kemarau pingat emas di Melbourne sejak 1956 tidak berterusan atau melarat lagi di Paris 2024 ini.
*Datuk Dr Pekan Ramli ialah Penganalisis Sukan Tanah Air