PENGGANTUNGAN beraksi daripada saingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) antara hukuman bakal dikenakan sekiranya didapati terdapat kelab yang tidak mengikut syarat ditetapkan dalam mendapatkan Lesen Kebangsaan.
Itu tegas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John yang mengesahkan badan induk tersebut telah membuka kertas siasatan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Iklan
Iklan
"AFC melihat dakwaan ini sebagai sesuatu yang serius, dan kami akan menghubungi FAM dan MFL, selain memulakan perbincangan serta melihat proses pemberian lesen oleh Jabatan Pelesenan Kelab.
"AFC menerusi jawatankuasa akan melihat semua maklumat yang dikumpul hasil siasatan sebelum buat keputusan. Hukuman paling berat sekiranya terbukti terdapat pelanggaran dalam proses pemberian lesen adalah tiada wakil yang boleh bermain di pentas Asia,
"Biarpun begitu, AFC perlu lihat terlebih dahulu sama ada wujud pelanggaran peraturan atau sebaliknya dalam isu ini," katanya pada Rabu.
Saingan Liga Super sebelum ini dikejutkan dakwaan kegagalan Kuala Lumpur City FC menjelaskan pembayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak Februari 2023 membabitkan jumlah keseluruhan tunggakan hampir RM719,000.
Dakwaan itu menimbulkan persoalan bagaimana kelab berdepan tunggakan gaji kendalian Miroslav Kuljanac yang kini berada di kedudukan kelima Liga Super dengan tujuh mata hasil dua kemenangan, satu seri dan satu tewas mendapat 'lampu hijau' Lesen Kebangsaan.