Perlawanan pembukaan Argentina-Maghribi seperti sarkas - Mascherano

Iklan
Penonton membaling botol ketika aksi Argentina dan Maghribi.

KEKECOHAN dan kekeliruan berlaku dalam aksi pembukaan kejohanan bola sepak lelaki di Sukan Olimpik ketika Maghribi menewaskan Argentina 2-1.

Ia berlaku selepas gol penyamaan lewat untuk pasukan Argentina itu dibatalkan dan beberapa minit terakhir dimainkan dalam stadium kosong berikutan masalah yang dicetuskan penyokong.

Iklan
Iklan

Argentina menyangka mereka telah berjaya menjaringkan gol penyamaan dalam aksi perlawanan Kumpulan B di Saint-Etienne apabila Cristian Medina menjaringkan gol pada minit ke-16 masa tambahan.

Tetapi ketika pemain mereka meraikannya, botol dan cawan plastik dibaling dari tempat duduk dan beberapa penonton memasuki padang memaksa pengadil segera meniup wisel.

Iklan

Pasukan-pasukan meninggalkan kawasan permainan, tetapi pengadil tidak meniup wisel menandakan perlawanan tamat dan keputusan perlawanan itu tidak jelas sehingga kedua-dua pasukan akhirnya muncul semula dua jam kemudian untuk bermain tiga minit lagi di stadium yang kosong tanpa penonton.

Gol Medina akhirnya dibatalkan kerana ofsaid berikutan semakan VAR, dan Maghribi bertahan untuk meraih tiga mata.

Iklan

Ia merupakan permulaan yang kurang baik kepada aksi sukan di Paris dan hari yang buruk bagi Argentina ketika pemainnya diejek semasa lagu kebangsaan oleh orang ramai

"Ia seperti sarkas,” keluh jurulatih Argentina, Javier Mascherano.

"Tiada satu pun daripada mereka memberitahu kami gol kami tidak sah... ini tidak akan berlaku dalam kejohanan sebegini. Ia menyedihkan.

"Di luar semangat Olimpik, organisasi perlu mencapai standard. Pada masa ini mereka gagal," katanya.

Argentina sedang dalam misi memenangi emas bola sepak lelaki buat kali ketiga selepas kejayaan pada 2004 dan 2008.

Perlawanan seterusnya Argentina adalah di Lyon pada Sabtu menentang Iraq, yang bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Ukraine 2-1 pada perlawanan pembukaan mereka.